Followers

Friday, July 15, 2011

Matahari jam dua petang membakar ubun-ubun kepala, jalan raya sesak dengan lalu lintas waktu makan tengah hari. Asap kelabu yang tengit dengan bau diesel, menyanggah rongga pernafasan. Jalan yang satu ini tidak pernah mendapat tempat di hati saya – persis jalan-jalan di metropolis Jakarta sahaja sifatnya.

Cuma ada satu tarikan nafsu yang membikin saya sanggup meredah lautan manusia di Jalan Chow Kit dan Jalan Tuanku Abdul Rahman: Nasi Kandar Kudu bin Abdul. Walaupun barisan pelanggan mengalahkan pengagihan makanan percuma oleh kumpulan sukarelawan, Food Not Bomb, saya masih sanggup beratur panjang di bawah suluhan terik matahari.



Tetapi hari ini, belum sempat sayur bendi kegemaran terasa nikmatnya di lidah, selera makan tersentap hilang. Seorang kanak-kanak lelaki berusia dalam lingkungan 10 tahun, tiba-tiba tercegat di sebelah seraya menghulurkan sekeping kertas bersalut lamina, memohon keluhuran saya membantu pembinaan sebuah rumah anak yatim merangkap sekolah tahfiz, di pinggir kota.

Soalan-soalan yang selalu menerjah minda apabila berhadapan dengan situasi seperti ini: Anak siapa ini? Walaupun meminta derma untuk pembinaan rumah anak yatim di Malaysia, kenapa rupa anak ini persis anak-anak Myanmar? Jika benar seperti yang dikata, bukankah tugas meminta dana itu tugas orang yang lebih dewasa? Kenapa pula kanak-kanak berbaju kotor dan capik yang muncul?

Benarkah teori yang mengatakan mereka ini hanya pelakon utama dalam drama ciptaan sindiket pengemis yang mengaut keuntungan puluhan ribu ringgit sebulan? Enggan menjawab soalan yang mencabar logik, seperti biasa, saya tetap menghulurkan apa-apa yang termampu ketika itu.

Saya pernah terbaca komentar penganalisis jenayah negara, Kamal Efendi Hashim, berpendapat bahawa kelakuan saya sebentar tadi hanya menggalakkan dan menambah keyakinan mereka untuk terus mengemis, bukannya berusaha untuk bekerja, lalu keluar dari kepompong hidup melarat.

Kamal turut mengkritik kecenderungan masyarakat kita yang cepat bersimpati tidak kena tempat dan masa. Saya dan anda senang terpengaruh dengan dugaan psikologi sindiket pengemis. Letak saja budak leleh hingus dengan pakaian sedaif mungkin, makin ramai orang yang akan membuka dompet untuk menderma. Soal ke mana derma itu disalurkan bukan masalah interim, pokoknya kita ‘ikhlas’. Bukan begitu, pembaca budiman?

Walaupun ratusan operasi telah diadakan untuk membanteras aktiviti mengemis, gejala ini sukar dihakis. Saya sendiri pernah menyaksikan bagaimana Jabatan Kebajikan Masyarakat menggempur pengemis di pasar Ramadan, Setiawangsa, lewat beberapa tahun lepas. Habis semua pengemis-pengemis dikerah naik van penguat kuasa, tetapi petang esoknya pengemis lain pula datang membanjiri lokasi yang sama.

Di Bangsar juga begitu. Pernah sekali saya dan rakan-rakan makan di gerai Jolly Green (ketika itu bangunan Bangsar Village belum wujud), dan kami beramai-ramai menderma kepada pasangan orang buta yang datang menghampiri meja.

Dalam perjalanan pulang menuju ke kereta, kami nampak mereka berdua sedang makan di restoran Burger King yang nyaman berhawa dingin. Ironis sekali dunia ini bukan? Tangan yang memberi makan di tempat murahan, manakala tangan yang menerima bersenang-lenang di Burger King? Tidak mengapa, janji niat kami ‘ikhlas’.

Mendalami gejala sosial mengemis ini, persoalan yang selalu ditanya fitrahnya sama. Dari mana mereka datang?

Hakikat tidak boleh disangkal, seperti sindiket pengedaran dadah, kalau tiada pelanggan sudah lama mereka bungkus. Kalau tiada pemberi, pengemis juga akan pupus dari jalan dan lorong kota ini. Dan dengan adanya orang seperti saya dan anda, sebenarnya langsung tidak membantu membasmi gejala sosial si gelandangan.

Namun, saya tidak boleh melupakan imej anak-anak di tasik Danau Toba apabila mereka menjerit-jerit kepada pelancong agar melempar wang syiling dari feri ke dalam tasik, kemudian mereka akan terjun menyelam ke dasar tasik untuk menangkap wang tersebut, persis pertunjukan sarkas sahaja. Dunia ini tidak selalunya indah. Fikir-fikirkan selalu.

0 comments:

©2009 .:: Makalah Ilmu ::.. Hakcipta Ada Yang Terpelihara.
Diterbitkan Oleh : Amirul Amin. | Pengurusan Oleh : Malaysia Terjah. | Pautan Luaran Oleh : Afiqah Network Link.
PENAFIAN : Ini adalah laman Web ATAU Blog sokongan untuk tujuan PROMOSI ATAU SUMBANGAN sahaja.
Tiada kaitan dengan : Laman Web ATAU Blog Syarikat ATAU Agensi ATAU Individu ATAU Organisasi yang disertai.
Tiada mana-mana bahagian portal ini boleh diubah, disalin, diedar, dihantar semula, disiarkan, dipamerkan, diterbitkan, dilesenkan, dipindah, dijual atau diuruskan
bagi tujuan komersil dalam apa bentuk sekalipun tanpa mendapat kebenaran secara bertulis yang jelas terlebih dahulu daripada
Malaysia Terjah.