Biografi Al-Syahid Hasan bin Ahmad bin Abdul Rahman al-Banna
Thursday, October 28, 2010
Al-Syahid Hasan bin Ahmad bin Abdul Rahman al-Banna rh.a. dilahirkan di bandar Mahmudiah (Berdekatan Iskandariah) pada tahun 1906. Beliau menamatkan pengajian di Sekolah Dar al-Ulum, Kaherah dan kemudian bertugas sebagai pengajar yang sering berpindah dari satu bandar ke satu bandar. Beliau mengajak umatnya supaya mengamalkan al-Quran al-Karim dan berpegang teguh dengan sunnah Nabi s.a.w.. Melalui usahanya ini beribu-ribu mahasiswa, buruh, peladang dan sebagainya daripada pelbagai lapisan masyarakat mendapat hidayah.
Setelah itu, beliau menetap beberapa ketika di bandar Ismailiah. Di sini beliau menubuhkan pejabat pertama Ikhwan bersama-sama beberapa orang anggota ikhwan lain.
Usaha beliau melangkah setapak lagi apabila beliau mula mengadakan sesi ceramah serta menyebarkan bahan cetak. Malah beliau mula mengadakan lawatan ke beberapa bandar dan desa. Kesannya di setiap daerah akhirnya wujud sebuah pusat dakwah. Dakwah beliau juga bukan terhad untuk golongan lelaki sahaja malah di Ismailiah beliau menubuhkan Maahad Ummahat al-Muslimin bertujuan memberikan didikan Islam untuk anak-anak perempuan.