Hati wanita terletak pada mulutnya
Friday, July 15, 2011
Celupar, cabul, cemburu, cincai, cerewet, comot, cuai, dan caci. Lapan perkataan ini memang boleh membuatkan ramai wanita menjadi gerun. Selain gerun, ada juga yang gelabah dan geram. Orang lelaki akan senyum tersengih saja.
Ternyata lapan pandangan negatif ini lambang keperibadian Muslimah yang lemah akhlaknya. Cubalah bayangkan kalau perkara-perkara ini ada dalam diri puan-puan. Memang betul, tidak guna berwajah cantik tapi peribadi comot, jika begitu biarlah rupa comot asalkan berperibadi mulia. Namun belum juga tentu yang comot itu juga mulia.
Kepada tuan-tuan pula, bayangkan kalau perkara ini ada dalam diri wanita di sisi anda. Aduhai... Hendak ditegur serba salah, tetapi jika tidak ditegur kelak hati sendiri yang susah. Namun apabila didiamkan selagi itulah hati menjadi semakin parah.
Berbalik pada hakikat, sememangnya wanita itu insan yang mudah lupa dan lalai. Ada masa-masa tertentu, mungkin juga kerana keadaan sekeliling yang membuatkan wanita mempunyai salah satu daripada ciri-ciri berkenaan. Ingatlah, wanita yang solehah (baik) itu lebih baik daripada 1,000 orang lelaki yang soleh.
Lelaki mempunyai ego mereka tersendiri. Jadi mereka tidak suka dicabar terutama sekali oleh golongan wanita. Wanita juga perlu tahu batas tindakan mereka agar lelaki tidak berasa tercabar. Namun wanita juga mempunyai ego. Lalu bagaimana? Siapa yang boleh mengawal id, ego dan superego wanita itu?
Isteri kalau bergaduh dengan suami mulalah tidak berfikir panjang akan berkata, “kalau awak berani cubalah cari perempuan lain!” Seperti kata Dr Fadzillah Khamsah, JANGAN CABAR SUAMI… nanti suami buat betul-betul isteri juga yang putih mata!
Cabul pula tentunya angkara mulut yang suka bercakap lepas hingga langsung tidak ada rasa malu. Menjerit-jerit, mencarut, mengeji dan mengeluarkan kata-kata tidak baik seperti biasa sahaja bagi mereka yang dikategorikan golongan ini.
Memang payah hendak mengawal diri sedangkan ada sahaja hal di sekitar cepat sahaja membuat wanita rasa hendak marah, melenting hingga bercakap celupar. Sedangkan itu bukanlah perangai wanita sejati; yang di dalam hatinya ada iman, yang di hatinya ada akhlak terpuji.
Namun ingatlah pesan orang tua, untuk membentuk bibir yang menawan, ucapkan kata-kata kebaikan. Dan untuk mendapatkan sikap tubuh yang indah, berjalanlah dengan segala ilmu pengetahuan dan anda tidak akan pernah berjalan sendirian. Mudah sahaja.
Cuba bayangkan pula seorang wanita yang cantik tetapi comot dengan penampilannya yang selekeh. Contohnya, isteri bila hendak keluar rumah baru hendak bersolek dan nampak comel tapi jika di rumah suka berkeadaan sentiasa comot. Suami pula di tempat kerja asyik di kelilingi wanita-wanita comel.
Selain itu ada juga wanita yang terlampau cemburu hingga pasangannya merasa terkongkong. Jika berjalan, pandangan mata suami asyik tunduk sahaja. Jika di tempat kerja, sekejap-sekejap isteri akan telefon. Mengapa mesti curiga? Kata pepatah, untuk mendapatkan mata yang indah, carilah kebaikan pada setiap orang yang anda jumpai.
Tidak dinafikan ramai lelaki yang terpikat pada wanita yang bersikap keibuan, lembut, mengambil berat dan penuh kasih sayang. Wajah yang keibuan mampu membuat lelaki berasa tenteram ketika sedang stres, cemas, gelisah dan senang hati ketika mahu bermanja. Bak kata ulama, hati wanita terletak pada mulutnya.
Ada lagi kata pepatah - untuk mendapatkan rambut yang indah, mintalah seorang anak kecil untuk menyisirnya dengan jemarinya setiap hari. Dan untuk mendapatkan bentuk badan yang langsing, berbagilah makanan dengan mereka yang kelaparan.
Dengan bertambahnya usia, anda mestilah semakin mensyukuri bahawa telah diberi dua tangan; satu untuk menolong diri sendiri, dan satu lagi untuk menolong orang lain.
Kepada wanita yang taat akan suaminya selalulah ingat; semua ikan-ikan di laut, burung di udara, malaikat di langit, matahari dan bulan, semuanya beristighfar baginya selama mana dia taat kepada suaminya dan dia tidak lupa menjaga sembahyang serta puasanya.
Pada Jumaat yang mulia ini, marilah kita mulakan sekali lagi, mulakan segalanya dengan kebaikan... pasti ada hikmahnya.
0 comments:
Post a Comment