Peristiwa Syawal : Ghazwah al-Ahzab
Monday, July 18, 2011
Ghazwah al-Ahzab atau Ghazwah Khandak merupakan peristiwa besar dalam sirah nabawaiyah yang berlaku pada Syawal, tahun ke-5 hijrah.
Kaum Yahudi yang ditimpakan kehinaan dan kerendahan jiwa berjumpa dengan kaum musyrikin bagi memastikan misi menggayang Rasulullah s.a.w, kaum muslimin dan dakwahnya terlaksana. Mereka telah mengajak dan mengapi-apikan Quraisy untuk memerangi Rasulullah s.a.w.
Ajakan mereka berjaya, dan seterusnya mereka telah pergi ke Ghatafan di mana Bani Fazzarah, Bani Murrah dan Asyjak telah berjaya mereka ajak lalu terbentuk satu pakatan jahat memerangi Rasulullah s.a.w lalu menuju ke Madinah. Angkatan yang dipimpin oleh Abu Sufian ini mencapai angka 10,000 askar!
Hal ini sampai ke pengetahuan Baginda s.a.w melalui risikan, lalu anggota majlis tertinggi segera dipanggil baginda bagi membincangkan strategi. Strategi merupakan satu cara yang belum pernah dikenali oleh bangsa Arab sebelum ini telah dicanangkan oleh Salman al-Farisi
Kata beliau : ‘Wahai Rasulullah, sebenarnya kami di bumi Parsi sekiranya kami dikepung maka kami menggali kubu mengelilingi kami’.
Cadangan Salman ini diterima Baginda s.a.w lalu memerintahkan menggali parit di sekeliling Madinah. ‘Khandak’ yang bermaksud ‘parit’ diambil nama sempena peristiwa menggali parit sebagai strategi peperangan di dalam peperangan kali ini.
Kaum muslimin dibahagikan kepada kelompok-kelompok, tiap 10 orang ditugaskan menggali kubu/khandak sepanjang 40 hasta. Semua kaum muslimin berusaha menggali kawasan masing-masing penuh kesungguhan dan cermat, Rasulullah merangsang dan menyertai mereka, dari hadith riwayat al-Bukhari dari Sahl bin Saad berkata: Kami bersama-sama Rasulullah di dalam kubu, ada yang menggali sedang kami mengangkut tanah di atas belakang kami sambil Rasulullah bermadah:
Ya Tuhan! kami tiada penghidupan sebenarnya kecuali penghidupan akhirat, Maafkanlah kaum Muhajirin dan Ansar
Sebuah hadith riwayat Anas katanya: Rasul keluar ke kubu, Baginda mendapati orang-orang Muhajirin dan Ansar sedang menggali khandak di pagi hari yang dingin tidak ada seorang hamba pun yang kerja untuk mereka, semasa Baginda melihat keadaan mereka yang keletihan dan kelaparan, Baginda pun bersuara:
Ya Tuhan! kami tiada penghidupan sebenarnya kecuali penghidupan akhirat, Maafkanlah kaum Muhajirin dan Ansar
Lantas semua mereka menjawab:
Kami berbaiah dengan Muhammad Untuk terus berjihad selagi jiwa di kandung jasad.
Al-Barra bin Azib telah berkata: Ku melihat Baginda (s.a.w) mengangkat pasir yang digali hingga menyelubungi kulit-kulit perut Baginda hingga tak nampak, ku ternampak kulit perut Baginda penuh dengan bulu-bulu roma. Ku mendengar Baginda bermadah dengan kalimat ungkapan Ibnu Rawahah semasa Baginda sedang mengangkat tanah-tanah dengan katanya:
Ya Tuhanku! tanpa kau kami tiada hidayat Takkan kami bersedekah dan bersolat. Turunkanlah ke atas kami kemenangan Tetapkan kaki kami di ketika perjuangan Keluarga sendiri melanggar kami Kiranya mereka memfitnah, sedia kami menolaknya.
Kata al-Barra lagi: Di dalam madah ini Baginda memanjangkan suaranya di akhir rangkap, tapi riwayat lain mengatakan Rasulullah (s.a.w) berbuat demikian pada rangkap terakhir.
Apabila Quraisy dan sekutu mereka sampai, mereka merasa terpegun dengan parit-parit yang mereka saksikan. Ini kerana Arab tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam penggalian parit seperti ini. Bilangan tentera bersekutu Quraisy sejumlah 10,000 orang sementara bilangan orang Islam hanya 3,000 orang.
Perbezaan jumlah angka ketenteraan ini telah jelas membezakan antara golongan mukminin dan munafiqin. Di ketika orang-orang mukmin melihat parti bersekutu, lantas mereka berkata: Inilah apa yang dijanjikan kita oleh Allah dan Rasulnya, justeru itu benarlah. Allah dan RasulNya. Tiada apa yang bertambah pada mereka selain iman dan penyerahan diri. Itulah yang terpamer pada ayat Allah:
” Dan tatkala orang-orang mukmin melihat golongan-golongan yang bersekutu itu, mereka berkata: Inilah yang dijanjikan oleh Allah dan RasulNya. Dan yang demikian itu tidaklah menambah kepada mereka kecuali Iman dan ketundukan.
(al-ahzab: 22)
Manakala kaum munafiqin dan yang lemah jiwanya, hati-hati mereka semakin bergoncang setelah melihat lautan tentera bersekutu. Maka berkatalah kaum munafiqin dan mereka yang berpenyakit di dalam hati: “Sebenarnya apa yang dijanjikan Allah dan Rasulnya adalah palsu belaka”. Inilah kepalsuan kaum munafiqin yang didedahkan oleh Allah di dalam ayatNya:
“Dan ingatlah ketika orang-orang Munafik dan orang-orang yang berpenyakit dalam hatinya berkata: Allah dan RasulNya tidak menjanjikan apa-apa kepada kami melainkan tipu daya “.
(al-Ahzab: 12)
Rasulullah telah bergerak dengan tentera Islamnya seramai tiga ribu (3,000) orang, mereka membelakangi bukit Sala’ sebagai benteng dari arah belakang, manakala kubu Khandak inerintangi di antara mereka dan tentera kafirin. Slogan mereka ialah:
“mereka tiada pertolongan”.
Penguasa Madinah semasa ketiadaan Rasulullah ialah Ibnu Ummu Maktum, kaum wanita dan anak-anak dipindahkan ke dalam benteng Madinah.
Huyai bin Akhtob salah seorang Yahudi yang berperanan menyemarakkan semangat Quraisy dan sekutu-sekutunya menentang orang Islam, telah pergi menemui Kaab bin Asad,penghulu Bani Quraizoh. Dia meminta beliau melanggar perjanjian damai antara Bani Quraizoh dengan orang Islam. Nabi s.a.w. terfikir untuk melakukan perdamaian dengan Bani Quraizoh dengan cara membayar satu pertiga hasil buah -buahan Madinah kepada mereka. Namun kaum Ansor dengan rasa megah terhadap agama mereka, menolak untuk tunduk kepada pihak Bani Quraizoh yang telah belot kepada perjanjian dan pakatan. Peperangan bermula apabila beberapa pahlawan berkuda musyrik berjaya melepasi parit tersebut di salah satu bahagiannya yang sempit. Orang Islampun bertempur dengan mereka. Selanjutnya, Nu’aim bin Mas’ud bin ‘Amir datang bertemu Rasul s.a.w. memberitahu Baginda bahawa dia telah memeluk Islam, sedangkan kaumnya tidak mengetahui keislamannya. Beliau juga merupakan kawan kepada Bani Quraizoh. Mereka mempercayai dan meyakininya. Beliau berkata kepada Rasul s.a.w.:
“Arahkan aku apa yang kamu mahu.”
Maka Rasul s.a.w. bersabda kepadanya:
“Di kalangan kita, kamu hanyalah seorang sahaja. Oleh itu, sekiranya kamu dapat, lakukanlah sesuatu untuk mengalahkan musuh. Sesungguhnya perang adalah tipudaya”.
Justeru itu, Nu’aim menggunakan kelicikannya sehingga berjaya memecahbelahkan pakatan Quraisy dan sekutunya dengan Bani Quraizoh. Dia menimbulkan prasangka dalam hati setiap kumpulan terhadap kumpulan lain. Allah telah menghantar angin kencang ke atas tentera bersekutu pada suatu malam yang amat sejuk, sehingga periuk-periuk bertaburan dan khemah-khemah mereka terkoyak. Jiwa tentera bersekutu diselubungi rasa takut, lalu mereka berangkat pulang pada malam itu juga. Apabila pagi, orang Islam tidak mendapati seorang pun orang musyrik yang masih berada di situ.
Ya ikhwati…
Yahudi yang mempunyai perangai suka berdengki, gemar melakukan tipu daya dan konspirasi sejak dari zaman Rasulullah s.a.w lagi berusaha sedaya-upaya mereka untuk memadamkan cahaya agama Allah ini. Perancangan demi perancangan jahat diatur, dan tekad telah pun dibulatkan mereka sepenuhnya bagi melaksanakan misi mereka. Strategi mereka yang telah berjaya membuat manusia tertarik, terpedaya, terleka, tertidur jelas di hadapan mata kita. Jika kita fikir sejenak, mengambil pengiktibaran dari peristiwa perang al-ahzab ini, semangat yang tinggi wajib dilawan dengan semangat yang tinggi juga. Rasulullah s.a.w meniupkan semangat kedalam jiwa mukminin dengan bait-bait syair dan slogan, menaikkan semangat mereka, mengentalkan jiwa-jiwa mereka bagi menghadapi serangan yang hebat ini. Adapun kita pada hari ini, kelemahan jiwa-jiwa untuk menentang Yahudi laknatullah ini. Justeru, semangat perlu dibangkitkan semula. Kekuatan diri dan pasukan perlu dibina dan proses pembinaan mestilah sentiasa berterusan. Segala kekuatan perlulah disediakan. Allah berfirman:
‘Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi’
(Al-Anfal:60)
Di dalam peristiwa perang ini juga kita dapat soroti pengorbanan besar Rasululullah s.a.w dan para sahabat di dalam melaksanakan tugas menggali parit. Satu tugas yang amat berat dan sukar. Perut terpaksa diikat demi menahan rasa lapar. Rasulullah s.a.w sendiri mengikat perutnya dengan dua ketul batu. Terdapat beberapa sahabat yang kebuluran. Terdapat juga beberapa sahabat yang berkorban menyediakan makanan untuk penggali-penggali parit. Masing-masing mempunyai peranan menghadapi penentangan ini.
Pihak muslimin, menghadapi tentangan dari semua arah dimana dibarisan hadapan mereka menghadapi tentera Abu Sufian manakala di bahagian dalam pula mereka menghadapi penentangan dari pembelotan Bani Quraizoh. Satu tentangan yang sengit dan tersepit sehingga ramai yang berasa berat dengan bala ketika itu. Sangat hebat ujian yang mereka hadapi.
Apa yang dapat disimpulkan ialah, dakwah ini tidak akan tertegak tanpa adanya pengorbanan-pengorbanan besar daripada antum semua. Perjuangan menegakkan kembali islam menuntut pengorbanan dari pendokong-pendokongnya seperti yang kita lihat dalam ghazwah ini. Khayalan, angan-angan, mimpi-mimpi sahaja tidak mampu mencetuskan perubahan. Kesungguhan yang jitu untuk merealisasikan betapa idealnya cara hidup islam perlu ada pada setiap orang yang memperjuangkannya. Satu yang dapat dilihat melalui sorotan ghazwah ini, ujian itu Allah turunkan kepada muslimin untuk membezakan antara golongan mukminin dan munafiqin. Mukminin jiwanya kental menghadapi dugaan dan cabaran dan sebaliknya. Jalan ini juga terisi dengan pelbagai ujian untuk melihat siapakah yang benar-benar beriman kepada Allah s.w.t.
Kisah pengislaman Nu’aim juga dapat kita ambil pengajaran dimana kita dapat melihat hakikat iman yang tidak statik. Laungan beliau:
“Arahkan aku apa yang kamu mahu.”
Menunjukkan hakikat iman yang sebenar dimana segala-galanya diserahkan hanya kepada Allah dan Rasul. Iman itu hakikatnya dinamik dan tidak hanya duduk diam, Ia perlu bergerak untuk membuktikan keimanan yang tulen kepada Allah semata-mata. Begitu juga para du’ah perlu bergerak bagi memastikan dakwah ini berjalan. Kerja-kerja dakwah akan terhenti apabila daie-daienya statik
Kemenangan itu datang selepas kesusahan, tentera Quraisy dapat dipatahkan dimana dengan kekalahan ini tiada satu pasukan arab pun selepas itu yang berupaya membentuk satu pasukan yang besar. Lantaran itu Rasulullah telah menegaskan di dalam sabdanya di saat Allah mengundurkan tentera al-Ahzab dengan sabdanya yang bermaksud:
“Sekarang sampai masanya kita yang menyerang mereka bukan mereka yang menyerang kita, dari sini kita akan mara menghancurkan mereka “
Kemenangan Muslimin di peperangan al-ahzab ini, disambut setiap tahun oleh umat islam pada bulan Syawal dengan lafaz takbir raya:
“yang menolong hamba-Nya (dengan) mengalahkan tentera Ahzab (tentera bersekutu yang diketuai oleh kaum musyrikin serta kaum Yahudi dan Nasrani) dengan keesaan-Nya.”
0 comments:
Post a Comment