UNDANG-UNDANG JENAYAH ISLAM
Monday, July 18, 2011
Jenayah dalam bahasa Arab disebut dengan perkataan al-Jinayah atau al-Jarimah. Perkataan al-Jinayah ditakrifkan sebagai segala bentuk tindakan yang dilarang dan merosakkan, samada tindakan itu ke atas badan, harta atau sebagainya. Al-Mawardi mentakrifkan jenayah sebagai segala bentuk kesalahan menurut Syariah yang boleh dihukum berdasarkan hukum Allah samada ia adalah qisas, hudud atau ta’zir.[1] Takrif ini cuba membezakan kesalahan yang boleh dihukum dengan kesalahan yang tidak boleh dihukum oleh pemerintah. Ini menjadikan skop jenayah adalah besar kerana semua kesalahan yang boleh dihukum oleh pemerintah menurut syara’ dianggap sebagai jenayah.
Islam menganggap jenayah satu kesalahan yang mesti dihukum kerana ia melanggar hak Allah dan hak manusia atau makhluk lain. Islam memandang tinggi kemuliaan agama, nyawa, akal, harta dan maruah. Pencabulan kepada lima perkara ini adalah jenayah yang perlu dihukum. Untuk menjadikan sesuatu tindakan itu dianggap jenayah, ia perlu memenuhi elemen-elemen berikut:[2]
a. Elemen perundangan iaitu peruntukan yang jelas melarang tindakan jenayah itu dan menjadikannya sebagai kesalahan yang boleh dihukum.
b. Elemen tindakan iaitu melakukan tindakan yang menjadi kesalahan itu
c. Elemen kelayakan iaitu melihat kepada umur, keupayaan, dan tanggungan penjenayah berkenaan
Undang-undang Islam membahagikan jenayah kepada tiga pembahagian utama berasaskan kepada hukuman yang dikuatkuasakan, iaitu seperti berikut:
a. Qisas dan diyat iaitu hukuman berkaitan dengan hak individu mangsa atau walinya. Umpamanya setelah hakim mendapati seseorang itu bersalah kerana membunuh, wali mereka boleh memilih samada untuk meneruskan hukuman qisas atau menggantikannya dengan diyat atau memaafkannya.
b. Hudud iaitu hukuman yang berkaitan dengan hak Allah yang telah ditetapkan dengan jelas di dalam al-Quran dan Sunnah. Hudud melibatkan kesalahan zina, qazaf, mencuri, hirabah, minum arak, dan murtad. Hukuman hudud ini kekal dan tidak boleh diubah sehingga hari kiamat.
c. Ta’zir iaitu hukuman selain dari hudud dan qisas. Hukuman bagi kesalahan dibawah qisas ini ditentukan oleh pemerintah atau hakim sesuai dengan suasana, penjenayah, kesalahan dan faktor lain.
Berikut adalah perbincangan secara mendalam bagi setiap pembahagian jenayah seperti yang telah disebutkan
6.7.1 Qisas dan diyat
Qisas bermaksud pembalasan yang serupa atas kejahatan yang dilakukan oleh penjenayah. Contohnya, bagi kesalahan bunuh dibalas dengan hukuman mati, bagi kesalahan membutakan mata dibalas dengan hukuman membutakan mata dan seumpamanya. Qisas berlaku dalam kes pembunuhan dan kes kecederaan atas anggota badan
Pembunuhan (al-qatl)
Hukuman qisas bagi kes pembunuhan adalah berasaskan firman Allah:
Terjemahan: Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu qisas dalam kes pembunuhan, iaitu orang merdeka dengan orang merdekan, hamba dengan hamba, wanita dengan wanita. Maka sesiapa yang mendapat pengampunan dari sudaranya hendakla9yang memaafkan) mengikuti dengan cara yang baik dan hendaklah (yang dimaafkan) membayar (diat) kepada yang memberi maaf dengan baik juga. Yang demikian itu satu keringanan dari Tuhan kamu dan satu rahmat, sesiapa yang melampaui batas selepas itu , maka baginya seksaan yang amat pedih. Dan pada Qisas itu ada (jaminan penerusan) hidup, hai orang-orang yang berakal, supaya kamu bertaqwa.[3]
Kebanyakan ulama membahagikan pembunuhan kepada tiga iaitu pembunuhan dengan sengaja (qatl ‘amd), pembunuhan serupa sengaja (qatl syibhu ‘amd) dan pembunuhan tidak sengaja (qatl khata’). Setiap jenis pembunuhan ini dihukum dengan hukuman yang berbeza.
0 comments:
Post a Comment