Followers

Apa Itu Zakat Fitrah ???

Monday, July 18, 2011

Apa maksud zakat fitrah?

Zakat fitrah adalah zakat yang diwajibkan bersempena dengan bulan Ramadhan dan juga hari raya Fitrah (aidil-Fitr). Dinamakan juga dengan zakat al-Abdan dan ar-Ru-us (zakat badan dan kepala) kerana ia diwajibkan ke atas setiap batang tubuh orang Islam tanpa kecuali sama ada kecil atau besar, tua atau muda, lelaki atau wanita, miskin atau kaya, merdeka atau hamba.




Kenapa dinamakan zakat ini dengan al-Fitrah?


Ada dua pengertian;


a) Ia diambil dari perkataan al-Fitr (الْفِطْر) yang bermakna berbuka kerana zakat tersebut diwajibkan bersempena hari raya (1 Syawal) iaitu hari di mana umat Islam diwajibkan berbuka setelah sebulan penuh mereka berpuasa di bulan Ramadhan.


b) Ia di ambil dari perkataan al-Fithrah (الفطرة) bermaksud al-Khilqah (yakni kejadian) kerana zakat ini menyuci dan membersihkan fitrah atau kejadian manusia.


Apa hukum zakat fitrah? Apa dalilnya?


Zakat fitrah adalah wajib. Dalil kewajipan zakat fitrah antaranya ialah hadis dari Ibnu Umar r.a. yang menceritakan; “Rasulullah s.a.w. telah memfardhukan zakat fitrah iaitu segantang tamar atau segantang gandum ke atas hamba dan orang merdeka, lelaki dan perempuan, kecil dan besar dari kalangan umat Islam. Baginda memerintahkan supaya ia ditunai sebelum orang ramai keluar pergi menunaikan sembahyang (hari raya)” (Hadis riwayat Imam Bukhari).


Menurut Imam Ibnu al-Munzir; “Telah menjadi ijma’ para ulama’ bahawa zakat fitrah hukumnya adalah wajib”. Walaupun tidak dinafikan ada segelintir ulama’ berpandangan bahawa zakat Fitrah adalah sunnah, namun menurut Imam Nawawi dalam Raudhatu at-Thalibin, pandangan mereka ini adalah syaz dan munkar.


Bilakah mula diwajibkan zakat fitrah?


Mula diwajibkan pada tahun ke 2 Hijrah iaitu tahun yang sama diwajibkan puasa bulan Ramadhan.


Apa hikmah diwajibkan zakat fitrah?


1. Sebagai pembersihan bagi orang yang berpuasa dan menampung kekurangan puasa mereka. Hikmah ini berdasarkan hadis dari Ibnu ‘Abbas r.a. yang menceritakan;


“Rasulullah telah mewajibkan zakat fitrah untuk menyucikan orang berpuasa dari perkara sia-sia dan ucapan-ucapan kotor dan juga sebagai makanan kepada fakir miskin” (Hadis riwayat Imam Abu Daud , Ibnu Majah dan al-Hakim).


Seorang ulama’ bernama Waki’ bin al-Jirah berkata; “Zakat fitrah bagi puasa Ramadhan seumpama sujud sahwi bagi solat di mana ia membaiki kekurangan puasa sepertimana sujud sahwi membaiki kekurangan solat”. (al-Iqna’, jil. 1, hlm. 324)


2. Sebagai bantuan untuk orang miskin; iaitu untuk membantu mereka sekadar yang terdaya agar mereka dapat sama-sama bergembira dan menikmati makanan tatkala berhari-raya. Hikmah ini berdasarkan hadis dari Ibnu ‘Umar yang menceritakan;


“Rasulullah s.a.w. telah mewajibkan zakat fitrah dan baginda berpesan; “Cukupkanlah mereka (yakni orang-orang fakir miskin) pada hari ini (yakni hari raya puasa)””. (Riwayat Imam al-Baihaqi dan Daruqutni/lihat hadis ini dalam Nailul-Authar, Imam asy-Syaukani, bab Zakat al-Fitri)


Ke atas siapa diwajibkan zakat fitrah?


Zakat fitrah diwajibkan ke atas semua individu sama ada lelaki atau wanita, kecil atau dewasa, merdeka atau hamba, miskin atau kaya, orang bandar atau pedalaman jika cukup syarat-syarat yang akan disebutkan nanti.


Bagi orang yang belum mempunyai tanggungan, zakat fitrahnya disempurnakan oleh dirinya sendiri atau orang yang menanggung nafkahnya. Adapun orang yang telah mempunyai tanggungan, ia wajib menyempurnakan zakat fitrah untuk dirinya sendiri dan juga orang-orang yang berada di bawah tanggungan nafkahnya merangkumi;


1. Isteri
2. Asal-asulnya (iaitu bapa, ibu, datuk, nenek hingga berikutnya ke atas)
3. Zuriatnya (iaitu anak-pinak dan cucu-cicit); sama ada lelaki atau perempuan, kecil atau besar/dewasa.
4. Hamba yang dimiliki.


Bagaimana jika seseorang itu mempunyai tanggungan yang banyak dan harta yang ada tidak mencukupi untuk membayar zakat untuk semua tanggungannya?


Hendaklah membayar zakat untuk diri sendiri dan sebahagian tanggungannya mengikut urutan keutamaan di bawah;


1. Isterinya


2. Anaknya yang kecil


3. Bapanya


4. Ibunya


5. Anaknya yang dewasa


Jika orang terdapat lebih dari seorang (seperti ia memiliki lebih dari seorang isteri atau lebih dari seorang anak kecil), maka ia boleh memilih dari kalangan mereka siapa yang hendak ia zakati.


Jika isteri kaya, adakah suami tetap wajib menanggung zakat fitrahnya?


Ya, kerana isteri berada di bawah tanggungan nafkah suami, maka zakat fitrahnya menjadi kewajipan suami sekalipun isteri kaya.


Jika suami miskin, adakah isteri wajib mengeluarkan sendiri zakat fitrahnya?


Tidak wajib. Jika suami miskin dan tidak mampu mengeluarkan zakat fitrah, gugur zakat fitrah dari isterinya sebagaimana gugur dari dirinya. Tidak wajib isteri mengeluarkan zakat fitrah untuk dirinya kerana ia tertanggung atas bahu suaminya. Walaupun tidak wajib, namun disunatkan ia mengeluarkan zakat fitrah untuk dirinya jika ia mampu.


Bilakah anak wajib menanggung zakat fitrah untuk ibu-bapanya?


Anak tidak wajib mengeluarkan zakat fitrah bagi ibu-bapanya kecualilah jika ibu-bapanya fakir atau miskin di mana nafkah sara hidup mereka menjadi kewajipannya ketika itu. Adapun ibu-bapa yang kaya atau berkemampuan, maka zakat fitrah mereka tidak wajib ditanggung oleh anak-anak mereka, akan tetapi ditanggung oleh mereka sendiri.


Bilakah bapa wajib menanggung zakat fitrah untuk anak-anaknya?


Anak-anak terbahagi kepada dua;
1. Anak-anak yang masih kecil
2. Anak-anak yang telah dewasa (baligh)


Anak-anak yang masih kecil sama ada lelaki atau perempuan, jika mereka memiliki harta, maka zakat fitrah hendaklah dikeluarkan dari harta mereka. Menjadi tanggungjawab walinya untuk mengeluarkannnya dari harta tersebut. Namun jika mereka tidak memiliki harta, maka zakat fitrah mereka ditanggung oleh bapa atau penjaga yang menanggung nafkah mereka.


Anak-anak yang telah baligh (dewasa), jika mereka mampu mencari pendapatan sendiri, maka zakat fitrah mereka tertanggung atas diri mereka sendiri, bukan atas bapa atau penjaga mereka. Malah tidak sah bapa atau penjaga mereka mengeluarkannya bagi pihak mereka kecuali dengan izin mereka atau dengan mereka mewakilkannya.


Adapun yang tidak mampu mencari pendapatan sendiri –sama ada kerana ditimpa sakit yang berterusan, gila atau kerana menumpukan masa untuk menuntut ilmu- maka bapa atau penjaga yang menyara mereka lah yang wajib mengeluarkan zakat fitrah untuk mereka. Kesimpulannya, bagi anak-anak yang telah dewasa, syarat untuk mewajibkan bapa atau penjaga menanggung zakat fitrah mereka ialah mereka tidak mampu mencari pendapatan sendiri.


Adakah wajib kita menanggung zakat fitrah untuk saudara-mara?


Tidak wajib sekalipun mereka susah dan miskin. Saudara mara (sama ada abang, adik, kakak, anak-anak saudara, bapa-bapa saudara, sepupu-sepupu serta sekelian kaum kerabat yang lain yang tidak tergolong dalam asal-usul kita (iaitu bapa, ibu, datuk, nenek) dan juga zuriat kita (iaitu anak, cucu dan cicit)), tidak wajib kita menanggung nafkah mereka (sekalipun mereka miskin), maka dengan itu tidak wajib pula kita membayar zakat fitrah untuk mereka. Malah tidak sah seseorang mengeluarkan zakat fitrah untuk saudara atau ahli kerabat yang tidak berada di bawah tanggungan nafkahnya kecuali dengan izin mereka atau dengan mereka mewakilkan kepadanya (untuk mengeluarkan zakat bagi pihak mereka).


Apakah syarat-syarat wajib zakat fitrah?


1. Islam; tidak wajib zakat fitrah ke atas orang kafir.


2. Hidup ketika terbenam matahari pada hari terakhir Ramadhan iaitu ia sempat bertemu dengan juzuk terakhir Ramadhan dan juzuk terawal Syawal.


Anak yang lahir sesudah terbenam matahari pada hari terakhir tersebut tidak wajib dikeluarkan zakat fitrah baginya kerana ia tidak bertemu dengan Ramadhan sekalipun bertemu dengan Syawal. Begitu juga, seorang lelaki yang mengahwini seorang perempuan selepas terbenam matahari hari terakhir tersebut juga tidak wajib membayar zakat fitrah untuk isteri yang baru dikahwininya itu kerana isterinya itu masuk di bawah tanggungannya setelah selesai Ramadhan secara sepenuhnya.


Sebaliknya, orang yang mati selepas terbenam matahari pada hari terakhir itu, wajib dikeluarkan zakat fitrah untuknya kerana kematiannya itu berlaku setelah ia sempat bertemu Ramadhan dan awal Syawal. Adapun orang yang mati sebelumnya (yakni sebelum terbenam matahari), tidak wajib dikeluarkan zakat fitrah untuknya kerana kematiannya sebelum ia sempat bertemu Syawal.


3. Mampu; iaitu mempunyai lebihan harta pada malam hari-raya dan juga siangnya setelah ditolak belanja keperluan diri dan orang-orang yang berada di bawah tanggungannya (termasuklah binatang peliharaannya) merangkumi makanan, pakaian, sewa rumah dan juga hutang. Jika tidak mempunyai lebihan harta, tidak wajib mengeluarkan zakat fitrah.


Orang yang memiliki syarat-syarat di atas wajib mengeluarkan zakat fitrah atau wajib dikeluarkan untuknya zakat fitrah. Jika tidak memenuhi syarat-syarat di atas, tidaklah wajib.


Apakah jenis harta yang sah untuk dikeluarkan zakat fitrah?


Zakat fitrah wajib dikeluarkan dari makanan asas penduduk setempat dalam suatu negeri atau Negara. Pada zaman Nabi s.a.w. makanan asas ialah kurma, anggur kering (kismis), gandum, keju dan barli. Kerana itu zakat fitrah dikeluarkan berasaskan makanan-makanan tersebut sebagaimana diceritakan oleh Abi Sa’id al-Khudri r.a.; “Kami mengeluarkan zakat fitrah (pada zaman Rasulullah s.a.w.) dengan kadar segantang dari gandum atau segantang dari barli atau segantang dari tamar atau segantang dari ‘aqt (keju) atau segantang dari kismis (anggur kering)” (Riwayat Imam Muslim).


Bagi penduduk di Negara kita Malaysia, makanan asas ialah beras. Oleh itu, zakat fitrah wajib dikeluarkan dengan beras atau dengan wang yang seharga dengan beras mengikut nilaian semasa.


Berapakah kadar zakat fitrah yang wajib dikeluarkan?


Kadar yang wajib dikeluarkan ialah satu Sha’ (الصاع) iaitu satu gantang Baghdad menyamai ukuran hari ini kira-kira 2750 gram (atau 2.75KG). Itu mengikut timbangan gandum. Adapun mengikut timbangan beras, satu gantang Baghdad menyamai 2600 gram atau 2.6 KG (mengikut Majlis Fatwa Kebangsaan).


Seelok-eloknya tatkala mengeluarkan zakat fitrah itu hendaklah dilebihkan sedikit dari kadar segantang yang diwajibkan itu kerana ada kemungkinan makanan yang kita keluarkan itu terdapat tanah, jerami atau seumpamanya di dalamnya yang boleh mengurangkannya dari kadar yang sepatutnya dikeluarkan.


Adakah harus mengeluarkan zakat fitrah dengan wang?


Terdapat khilaf ulamak;


a) Mengikut mazhab Syafi’ie, Malik dan Ahmad; zakat fitrah wajib dikeluarkan dalam bentuk makanan asas setempat tadi. Tidak harus dikeluarkan dalam bentuk wang sekalipun yang seharga dengan makanan yang wajib dikeluarkan zakat mengikut nilaian semasa.


b) Menurut mazhab Hanafi; harus mengeluarkan zakat fitrah dengan wang yang senilai dengan harga satu gantang makanan asas tadi jika itu lebih memberi manfaat kepada fakir miskin. Pandangan mazhab Hanafi ini ditarjih oleh Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam Fiqh Zakatnya.


Bilakah masa mengeluarkan zakat fitrah?


a) Menurut mazhab Syafi’ie; zakat fitrah boleh dibayar seawal bermula bulan Ramadhan lagi, iaitu dari hari pertama Ramadhan. Menurut mazhab Malik; pembayaran sah dilakukan dalam tempoh dua atau tiga hari sebelum hari raya. Sebahagian ulama’ mazhab Ahmad berpandangan; harus pembayaran dibuat setengah bulan (15 hari) sebelum hari-raya.


b) Waktu paling afdhal mengeluarkan zakat fitrah ialah pada pagi hari raya sebelum ditunaikan solat hari raya. Dalam sebuah hadis, Ibnu Umar r.a. menceritakan; “Rasulullah s.a.w. menyuruh supaya dikeluarkan zakat fitrah sebelum orang ramai keluar untuk menunaikan solat (hari raya)” (Riwayat Imam Bukhari).


c) Makruh melewatkan pembayaran zakat fitrah hingga selepas solat hari raya. Hukum makruh ini berterusan hingga terbenamnya matahari. Jika dilewatkan lagi hingga selepas terbenam matahari, maka hukumnya adalah  haram dan berdosa. Dalam satu hadis yang disampaikan oleh Ibnu ‘Abbas r.a. ada dinyatakan; “Sesiapa menunaikan zakat firtah sebelum solat hari raya, ia adalah zakat yang diterima. Dan sesiapa yang menunaikannya selepas solat, ia adalah sedekah biasa” (Riwayat Imam Ibnu Majah).


Orang yang melewatkan pembayaran zakat fitrah, adakah ia wajib menggantinya?


Para ulama’ juga sepakat bahawa kewajipan mengeluarkan zakat fitrah tidak akan gugur dengan menta’khir atau melewatkannya setelah ia menjadi wajib ke atas seseorang, bahkan ia menjadi hutang yang berada di bawah tanggungannya hinggalah ia membayarnya walaupun di akhir umur. Jika ditakdirkan berlaku kematian ke atasnya sebelum ia sempat menunaikan zakat fitrah tersebut, hendaklah dikeluarkan dari harta peninggalannya, kerana zakat adalah kewajipan harta yang mesti ditunaikan ketika hidup, maka ia tidak akan gugur dengan sebab berlakunya kematian sama seperti hutang dengan manusia.


Kepada siapa hendak diberikan zakat fitrah?


1. Telah disepakati oleh para ulama’ bahawa pengagihan zakat fitrah adalah sebagaimana zakat-zakat yang lain iaitu kepada lapan golongan yang disebut oleh Allah dalam surah at-Taubah, ayat 60, iaitu;


a)Untuk golongan fakir


b)Untuk golongan miskin


c)Untuk golongan muallaf yang hendak dijinakkan hatinya dengan agama


d)Untuk ‘amil-amil yang dilantik menguruskan zakat


e)Untuk hamba-hamba yang ingin memerdekakan dirinya


f)Untuk orang-orang yang dibelenggu oleh hutang


g)Untuk dibelanjakan bagi kemaslahan agama Allah (Fi Sabilillah)


h)Untuk orang-orang musafir yang terputus bekalan


2. Namun hendaklah diutamakan golongan fakir dan miskin kerana terdapat arahan Rasulullah s.a.w. supaya kita membantu mencukupkan keperluan mereka pada hari raya sebagaimana yang terdapat dalam satu hadis; “Rasulullah s.a.w. telah mewajibkan zakat fitrah dan baginda berpesan; “Cukupkanlah mereka (yakni orang-orang fakir miskin) pada hari ini (yakni hari raya puasa)”. (Riwayat Imam al-Baihaqi dan Daruqutni/lihat hadis ini dalam Nailul-Authar, Imam asy-Syaukani, bab Zakat al-Fitri).


3. Harus bagi orang yang mengeluarkan zakat fitrah mengagihkan sendiri zakat fitrahnya kepada orang-orang yang berhak dari kalangan fakir dan miskin. Memberi zakat kepada kaum kerabat adalah lebih utama (dari memberi kepada orang lain) dengan syarat mereka miskin dan memerlukan. Maksud kaum kerabat di sini ialah saudara-mara yang tidak wajib kita menanggung nafkah mereka iaitu saudara-saudara (adik, abang atau kakak), anak-anak saudara, bapa-bapa saudara, ibu-ibu saudara, sepupu dan sebagainya. Adapun kaum kerabat (atau ahli keluarga) yang wajib kita menanggung nafkah mereka (iaitu isteri, anak, cucu, bapa, ibu dan datuk) tidak harus kita memberi zakat kita kepada mereka.


4. Dalam mengagihkan zakat, harus kita memberi zakat kita kepada seorang fakir sahaja dan harus juga kepada ramai fakir jika zakat kita itu banyak dan boleh menampung lebih dari seorang fakir. Lebih jelas; satu zakat hanya harus diberikan kepada seorang fakir sahaja. Adapun banyak zakat, ia harus sama ada hendak diberikan kepada seorang sahaja atau diberikan kepada ramai orang (dengan syarat setiap orang tidak mendapat kurang dari kadar satu zakat yang ditetapkan pada tahun tersebut).


Adakah wajib berniat ketika mengeluarkan zakat fitrah?


Ya, wajib berniat kerana Nabi s.a.w. bersabda; “Segala amalan bergantung kepada niat. Sesungguhnya bagi setiap orang apa yang diniatkannya” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim dari ‘Umar r.a.). Niat yang wajib ialah di dalam hati iaitu menghadirkan di dalam hati (ketika memberi zakat fitrah kepada orang yang berhak menerimanya) bahawa yang dihulur/diberikan itu adalah zakat fitrah yang wajib ke atas diri atau orang-orang yang berada di bawah tanggungan. Adapun melafaz niat dengan lidah, hukumnya sunat sahaja mengikut mazhab Syafi’ie. Sebahagian ulamak tidak mensunatkannya kerana tiada dalil yang menyuruhnya.

0 comments:

©2009 .:: Makalah Ilmu ::.. Hakcipta Ada Yang Terpelihara.
Diterbitkan Oleh : Amirul Amin. | Pengurusan Oleh : Malaysia Terjah. | Pautan Luaran Oleh : Afiqah Network Link.
PENAFIAN : Ini adalah laman Web ATAU Blog sokongan untuk tujuan PROMOSI ATAU SUMBANGAN sahaja.
Tiada kaitan dengan : Laman Web ATAU Blog Syarikat ATAU Agensi ATAU Individu ATAU Organisasi yang disertai.
Tiada mana-mana bahagian portal ini boleh diubah, disalin, diedar, dihantar semula, disiarkan, dipamerkan, diterbitkan, dilesenkan, dipindah, dijual atau diuruskan
bagi tujuan komersil dalam apa bentuk sekalipun tanpa mendapat kebenaran secara bertulis yang jelas terlebih dahulu daripada
Malaysia Terjah.