Followers

Apa Orang Kata Mengenai Imam Syahid Hasan Al-Banna

Tuesday, July 12, 2011

 “Tokoh Yang Menggegarkan Bumi Mesir dan Dunia Islam”


“… Tokoh ini telah menggegarkan bumi Mesir serta dunia Arab dan Islam seluruhnya melalui dakwah, tarbiyah, jihad dan ketokohannya yang unggul. Allah telah mengurniakan tokoh ini dengan bakat dan kebolehan yang dianggap tidak mungkin wujud menurut pandangan pakar psikologi, pakar sejarah dan para penganalisis. Kelebihannya terletak pada kemampuan akal yang begitu hebat dan pintar, kefahaman yang luas, emosi yang begitu mantap dan stabil, hati yang penuh keberkatan, jiwa yang muda membara, lisan yang petah, zuhud, qana’ah dalam hidup tanpa mengenal erti susah, rajin dan berwawasan jauh tanpa mengenal erti putus asa dalam usaha menyebarkan dakwah dan prinsip, jiwa yang penuh inspirasi dan bercita-cita tinggi, bersemangat tinggi, berpandangan realistik dan jauh, tabah dan prihatin dengan dakwah, bersikap merendah diri terutama yang membabitkan dirinya sehingga diakui oleh sesiapa sahaja yang mengenalinya. Beliau ibarat sinaran cahaya yang lembut, tidak terlalu cerah, tidak berbalam dan tidak tertutup.
Kepintaran pendakwah ini begitu menonjol dalam dua aspek yang jarang sekali dimiliki pendakwah dan pemimpin yang lain. Pertama, dedikasinya kepada dakwah selain keyakinan, pengorbanan dan penggemblengan seluruh potensi serta kemampuan yang ada untuk dakwah. Ciri ini sudah tentu menjadi syarat utama atau ciri utama bagi seorang pendakwah atau seorang pemimpin yang Allah mahu salurkan segala kebaikan melalui mereka. Kedua, pengaruhnya yang begitu kuat dalam jiwa sahabat serta anak muridnya selain kejayaannya dalam bidang tarbiah dan melahirkan pendakwah. Beliau adalah seorang pembina generasi baru, seorang pendidik bagi sebuah bangsa dan seorang perintis sebuah institusi ilmu, fikrah dan akhlak.


Namun saya tidak berkesempatan untuk bertemu dengannya di Mesir atau di luar Mesir. Suatu ketika saya berpeluang melawat Mesir namun rahmat Allah lebih mengasihi beliau. Ketika peristiwa kesyahidannya yang menggegarkan jiwa berjuta umat Islam, umurnya ketika itu masih belum mencecah empat puluh dua tahun. Dunia Islam kehilangan seorang yang unggul dalam sejarah manusia. Sehingga kini saya masih rasa terkilan kerana hilang kesempatan ini…”


Abu al-Hasan al-Nadwi




“Berkurun lamanya umat Islam tidak melihat orang seperti Hasan al-Banna”
“Secara terbuka saya katakan dan apa yang saya katakan ini tidak salah untuk anda sampaikan kepada orang lain. Saya tegaskan di sini bahawa telah berkurun lamanya umat Islam tidak melihat orang seperti Hasan al-Banna. Segala sifat ada padanya dan terpampang dalam peribadinya. Saya tidak nafikan kemampuan para pembimbing, keilmuan para cendikiawan, pengetahuan orang yang arif, kepetahan para pemidato dan ketajaman bahasa para penulis, ketokohan para pemimpin, kemahiran mengurus yang ada pada para pentadbir, kebijaksanaan para pemerintah, semua ini saya tidak nafikan ada pada mereka semenjak dahulu hingga sekarang. Namun keseluruhan sifat yang hebat ini jarang sekali bergabung dalam satu tokoh sepertimana yang dimiliki oleh Imam al-Syahid.


Beliau dikenali oleh masyarakat dan mereka yakin dengan kejujurannya. Saya termasuk di kalangan mereka yang mengenalinya. Secara keseluruhannya boleh saya katakan orang ini telah menyerahkan segalanya untuk Allah; roh dan jasadnya, jiwa dan raganya serta segala tindakan dan gerak-gerinya. Beliau menyerahkan segalanya untuk Allah dan Allah melimpahkan segala-galanya untuknya. Allah memilih dan meletakkan beliau sebaris dengan pemimpin para syahid yang suci…”


Sheikh Muhammad al-Hamid




“Manusia yang ulung”
“… Pada hari Hasan al-Banna dibunuh, dunia ketika itu ibarat suatu yang paling tidak berharga. Mengapa peluru ini perlu menembusi tubuh ini. Ia menembusi tubuh yang diasuh dengan ibadah yang khusyuk, dibelai dengan sembahyang dan sujud yang lama. Ia menembusi tubuh yang diselaputi debu sepanjang perjalanannya di jalan Allah. Tubuh yang menempuh perjalanan yang tiada perhentian. Perjalanan yang membawa berjuta manusia mendengar kata-kata. Membawa manusia kepada Allah melalui suaranya yang bersemangat. Menyatukan beribu-ribu manusia untuk berada bersama di medan Islam.


Melalui lidahnya, al-Quran kembali segar. Ciri pewaris nabi terpancar pada perwatakannya. Manusia yang unggul ini bangkit ibarat tembok kukuh menahan gelombang materialisme yang melanda. Bangkit bersama satu generasi baru yang cintakan Islam dan berpegang teguh dengan Islam. Eropah memahami kewujudan manusia yang agung ini akan mengancam kewujudan mereka di Timur. Justeru mereka berbisik kepada kuncu-kuncu mereka. Akhirnya Imam Syahid terpaksa bermandikan darahnya sendiri dan generasi yang dididiknya terpaksa merengkuk di dalam penjara…”


Sheikh Muhammad al-Ghazali




“Teladan dalam segala-galanya”
“… Hasan al-Banna adalah seorang imam yang sejati. Beliau menjadi teladan dalam segala-galanya; ilmunya, imannya, keikhlasannya, kecergasannya, kepintarannya, kepekaannya, hatinya yang berjiwa besar dan rohnya yang suci.


Bagi saya Hasan al-Banna adalah hujah yang Allah tunjukkan pada saya bahawa Islam ini mampu membina para pejuang. Islam mampu mewujudkan manusia yang ulung. Mampu membentuk darah daging ini menjadi cahaya yang indah. Beliau seorang yang berfikiran luas. Jiwanya berhubung dengan alam rahsia. Beliau tidak pernah leka untuk mengingati Allah. Ibarat sebuah gunung yang memiliki segala-galanya; ketinggian, keteguhan serta kekuatan. Seorang yang berjiwa kental dan tidak pernah silap menentukan halatujunya. Seorang yang hebat mengisi hati kami dengan cinta Allah. Menyuluh dada kami dengan cinta Islam. Membelai kami dalam suasana yang suci bersih tanpa sebarang noda.


Hari Hasan al-Banna dibunuh adalah hari yang paling gelap dalam sejarah manusia. Kehilangannya bererti kehilangan nilai kemanusiaan. Sukar untuk mencari gantinya. Hasan al-Banna dibunuh setelah dua puluh tahun bersama jihad, tanpa henti siang dan malam…”


Sa‘id Ramadhan




“Sebuah gagasan yang sebati dalam jiwa”


Hasan al-Banna ibarat satu gagasan yang mantap. Gagasan yang tidak pernah mengejar kekayaan, tidak pernah mencari keuntungan yang bersifat sementara. Justeru beliau hidup bersama kita dengan cara yang amat mudah dan ringkas. Beliau menerima dunia dengan penuh bersahaja. Beliau tidak pernah mencari dunia atau menolak terus dunia. Segalanya sekadar secukupnya. Beliau hanya mengambil sekadar yang perlu. Beliau makan apa yang ada. Pakai pakaian yang ada. Tempat tinggalnya sekadar seadanya. Beliau hidup serba ringkas. Beliau menyerahkan nasib anak-anaknya kepada Allah dan tiada apa yang ditinggalkan untuk mereka. Baginya segala kebahagiaan dan keseronokan dalam hidup ini ialah menyampaikan kalimah Allah kepada seluruh manusia. Meluahkan segala ilmu yang tersimpan di dadanya. Beliau mahu melihat gagasannya yang mulia dan ideal ini menjadi kenyataan. Beliau mahu ia menjadi realiti yang hidup di tengah masyarakat manusia. Menenggelamkan segala kesesatan yang merintangi jalannya. Memberikan sinar cahaya pada dunia ini. Apabila semua ini menjadi kenyataan barulah jiwanya tenang dan terpancar di lubuk hatinya sinar nikmat, cahaya dan kegembiraan.


Al-Bahi al-Khauli

0 comments:

©2009 .:: Makalah Ilmu ::.. Hakcipta Ada Yang Terpelihara.
Diterbitkan Oleh : Amirul Amin. | Pengurusan Oleh : Malaysia Terjah. | Pautan Luaran Oleh : Afiqah Network Link.
PENAFIAN : Ini adalah laman Web ATAU Blog sokongan untuk tujuan PROMOSI ATAU SUMBANGAN sahaja.
Tiada kaitan dengan : Laman Web ATAU Blog Syarikat ATAU Agensi ATAU Individu ATAU Organisasi yang disertai.
Tiada mana-mana bahagian portal ini boleh diubah, disalin, diedar, dihantar semula, disiarkan, dipamerkan, diterbitkan, dilesenkan, dipindah, dijual atau diuruskan
bagi tujuan komersil dalam apa bentuk sekalipun tanpa mendapat kebenaran secara bertulis yang jelas terlebih dahulu daripada
Malaysia Terjah.