Followers

Allah Ajarkan Kehebatan Ikhlas Kerana-Nya

Friday, June 3, 2011


alt
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani ... Terima kasih Ya Allah, saya demam hari ini : ) itulah perasaan yang muncul bila saya demam bermula semalam.
Bermula lebih kurang jam 9 malam tadi, badan saya mula terasa lemah, terpinga seketika kemana hilangnya tenaga yang cukup banyak bila saya menyampaikan ceramah kepada sekumpulan jemaah wanita di Surau Taman Permata pada jam 3 petang pada hari yang sama.

CGEJ8WBXFV7U

Tiba-tiba tenaga itu semakin merosot dan hampir hilang semuanya bila jam menunjukkan 12 tengah malam dan saya tidur dalam keadaan yang begitu lemah.
Alhamdulillah pagi ini sebaik sahaja saya menunaikan solat subuh, muncul dihati saya rasa syukur kerana saya demam. Sudah agak lama juga saya tidak demam serta berharap di dalam hati agar ianya dapat membersihkan dosa-dosa saya kepada Allah.
Seperti bagaimananya tenaga itu hilang, saya dapati ia kembali sedikit demi sedikit pada pagi ini. Dengan sedikit kekuatan itu saya menulis, insyaAllah. Alhamdulillah, itulah Allah ... yang memberikan kita kekuatan dan pada bila-bila masa saja Dia boleh mengambilnya kembali.
Saya pernah menulis tentang Ikhlas kerana Allah dan saya diajarkan bahawa ikhlas kerana Allah ini adalah antara kunci utama jalan menuju Allah, kunci penting di dalam turunnya hidayah Allah yang akan membimbing kita insyaAllah.
Penulisan kali ini juga tentang ikhlas tetapi mungkin dari perspektif yang agak berlainan.
Pada lebih kurang dua minggu yang lepas, DVD Pelatihan Solat Khusyuk oleh Pak Ustaz Abu Sangkan telah pun siap dan diserahkan kepada kami.
Masalahnya DVD yang diserahkan perlu dibungkus terlebih dahulu dan diletakkan labelnya kerana syarikat yang membuatnya tidak menyediakan perkhidmatan tersebut. Kami perlu menyiapkan secepat mungkin untuk menghantar pesanan yang diterima sebelum ini. DVD itu semuanya dihantar ke rumah saya.
Pada masa itu kerana saya agak sibuk dengan beberapa tugasan yang lain, ingin saja saya menghantarnya kepada pembantu saya di pejabat untuk menguruskannya. Saya melihatkan tugasan itu mudah dan ringan. Kalau di pejabat saya dahulu, tugas-tugas seperti itu diserahkan kepada pembantu tadbir kerana saya tidak sempat untuk menguruskannya.
Namun, saya pelik kenapa dihati saya ketika itu begitu ingin sekali menyiapkan kerja itu, walaupun saya tahu kerja itu ringan dan mudah serta saya sedari saya mempunyai kerja-kerja yang lain yang perlu disiapkan. Walaupun tidak ada alasan yang dapat saya berikan, saya katakan pada diri saya, buatlah kerana Allah walaupun kecil.
Jadi saya menghabiskan lebih kurang dua hari untuk menyiapkan label dan membungkus DVD-DVD itu. Memandangkan masa yang agak panjang yang akan digunakan, maka saya memasang DVD tersebut di hadapan saya dan sambil bekerja saya mengulangkaji pelatihan solat khusyuk itu melalui DVD itu.
Subhanallah, Alhamdulillah dan terima kasih Allah ... tiada yang dapat saya ucapkan, saya diajarkan berzikir kepada Allah dengan betul sehingga menimbulkan getaran di dalam jiwa sehingga tersungkur dan menangis.
Sebelum ini di dalam usrah, kami sering membincangkan firman Allah yang bermaksud;
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu apabila disebut nama Allah , gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, bertambahlah iman mereka (keranaNya) dan kepada Tuhanlah mereka bertawakal." (Al-Anfaal: 2)
Kami sering berbincang kenapa hati tidak bergetar ketika disebut nama Allah, adakah kita belum lagi boleh disebut orang-orang yang beriman. Alhamdulillah saya sudah faham.
Kaedah berzikir dan mengingati Allahnya tidak betul, kesedarannya tidak tepat. Lihat saja kesedaran kita ketika mengingati Allah ketika bangun malam dan bertahajud sehingga dialirkan rasa gementar, syukur dan mudah menangis.
Namum kesedaran itu jarang kita gunakan bila kita mengingati Allah pada waktu-waktu yang lain terutamanya pada waktu siang. Kesedaran yang total, ruhani kita aktif menuju Allah.
Saya sangat bersyukur diajarkan Allah perkara ini dan terus dapat saya fahami betapa kerja-kerja yang dipandang remeh, ringan, mudah dan kecil kalau dibuat kerana Allah begitu hebat ganjarannya di sisi Allah, insyaAllah tersedia ampunan, rahmat dan hidayah dari Allah. Saya bersyukur kerana membungkus DVD itu!
Antara pengajarannya yang ingin saya kongsikan di sini ialah :
(1) Jangan dipandang remeh sesuatu tugasan walaupun nampak kecil dan ringan. Mungkin kerja yang kecil itulah membuka jalan kepada ampunan dan rahmat Allah bila dilakukan dengan ikhlas.
(2) Semua pekerjaan adalah tugasan dari Allah walaupun kecil dan nampak tidak penting di mata manusia. Biarlah kita seorang office boy atau seorang kerani atau seorang pemandu, itu tugasan yang Allah pilih untuk kita dan apabila kita lakukan dengan ikhlas, ganjaran besar menanti kita di sisi Allah di dunia dan di akhirat.
(3) Komen yang saya dapat dari seorang rakan di facebook; apa saja yang dilakukan kerana Allah, yang kecil jadi besar disisi-Nya. Itulah kehebatan ikhlas kerana Allah.
Ayuh, jangan kita tunggu lagi... serahkan apa saja yang kita akan lakukan kerana Allah. Tiada kepentingan diri, keluarga atau apa saja.
Semuanya kerana Allah, insyaAllah kita nanti tinggal bersaksikan hebatnya ganjaran yang menanti untuk orang-orang yang ikhlas kerana-Nya. Semoga kita terpilih untuk tergolong di kalangan orang-orang yang mukhlisin (orang-orang yang ikhlas)..

0 comments:

©2009 .:: Makalah Ilmu ::.. Hakcipta Ada Yang Terpelihara.
Diterbitkan Oleh : Amirul Amin. | Pengurusan Oleh : Malaysia Terjah. | Pautan Luaran Oleh : Afiqah Network Link.
PENAFIAN : Ini adalah laman Web ATAU Blog sokongan untuk tujuan PROMOSI ATAU SUMBANGAN sahaja.
Tiada kaitan dengan : Laman Web ATAU Blog Syarikat ATAU Agensi ATAU Individu ATAU Organisasi yang disertai.
Tiada mana-mana bahagian portal ini boleh diubah, disalin, diedar, dihantar semula, disiarkan, dipamerkan, diterbitkan, dilesenkan, dipindah, dijual atau diuruskan
bagi tujuan komersil dalam apa bentuk sekalipun tanpa mendapat kebenaran secara bertulis yang jelas terlebih dahulu daripada
Malaysia Terjah.