Followers

Artis Bertudung Sesatkan Masyarakat dalam Diam

Friday, June 3, 2011

Peminat bersorak girang melihat aksi awek bertudung di atas pentas. Bersorak bukan kerana awek bertudung itu beraksi ghairah di atas pentas, tetapi bersorak girang melihatnya hebat menyanyi. Kelunakan suaranya membuatkan peminat terpana.

Kepala  yang disarung tudung menyebabkan peminat lebih dekat kepadanya.  Kononnya awek yang bertudung adalah perempuan yang baik dan wajar untuk  dicontohi. Inilah pemikiran sempit yang membelenggu umat Islam hari ini,  akibat daripada penerapan hukum sekular. Asalkan bertudung sahaja,  mereka itu membawa imej Islam.


Masyarakat menjadikan artis  sebagai contoh, bukan al-Quran dan as-Sunnah sebagai sandaran  undang-undang. Sekiranya artis itu bertudung, tudung seperti itulah yang  akan dicontohi fesyennya, tanpa mengikut hukum syarak. Lazimnya, tudung  ketat dan tudung yang tidak menutup dada sehingga menampakkan bentuk kedua-dua 'bukit' wanita sering dijadikan tudung contoh.

وَقُل  لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ  فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ۖ  وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ ۖ وَلَا يُبْدِينَ  زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ  بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ  إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ  نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ  أُولِي الْإِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ  يَظْهَرُوا عَلَىٰ عَوْرَاتِ النِّسَاءِ ۖ وَلَا يَضْرِبْنَ  بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِن زِينَتِهِنَّ ۚ وَتُوبُوا  إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Dan  katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat  pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara  kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh  mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup  belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka  memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka,  atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau  anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi  saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara  mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba  mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak  berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti  lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki  untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka;  dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang  beriman, supaya kamu berjaya. \[an-Nur:31]

Inilah  peranan artis bertudung. Memesongkan ummat daripada ajaran Islam yang  sebenar. Kononnya mereka bertudung, merekalah contoh ikutan yang wajar  diikuti. Walhal, mereka tidak menutup aurat seperti mana yang Allah  telah tetapkan. Maka, peminat yang mengikut gaya fesyen artis ini turut  sama masuk longkang bersama-sama artis pujaan mereka.

Mereka bukanlah membawa ajaran sesat mahupun menyesatkan aqidah umat Islam, tetapi peranan mereka amat besar  sekali untuk menjadi ejen Barat untuk menjauhkan umat Islam daripada  ajaran Islam. Perkara ini adalah hakikat yang harus ditelan walaupun  pahit oleh peminat-peminat. Artis yang terbabit juga harus menelan  hakikat ini, kerana mereka secara tidak sedar dan tidak rasmi menjadi  ejen-ejen Barat dalam memesongkan umat Islam daripada ajaran Islam!

Ini  baru diperhatikan daripada aspek tudung. Bagaimana pula dengan  aksi-aksi mereka menonjolkan diri di khalayak umum meliuk-lentokkan  tubuh mereka yang disarung dengan baju ketat serta mengenakan solekan  yang berlebihan yang bisa menggetarkan jiwa lelaki normal? Hal aurat  tidak lagi diambil peduli. Peminat terus memuji artis-artis bertudung  dengan pujian yang lebih kurang, "Saya suka awak bertudung. Kekalkan imej bertudung".  Begitu mudah hati ummat dibutakan dengan bertudung. Seolah-olah  bertudung itu merupakan lesen untuk menyanyi dan menonjolkan diri di  khalayak ramai!

Inilah kesan daripada penerapan hukum sekular  yang lahir daripada akal manusia semata-mata. Undang-undang dicipta  berdasarkan majoriti 2/3 undi di dalam parlimen. Artis juga tidak  terkecuali daripada terkena bahana-bahana sekularisme.

Buktinya,  tudung yang dipakai oleh para artis walaupun tidak mengikut hukum syarak  diislamkan. Mereka telah mengislamkan trend supaya tindakan mereka itu  adalah mengikut hukum syarak. Bertudung tapi menyanyi, berpakaian ketat  pun, 'tepati syarak' juga, dan ummat tergila-gila untuk mencontohi  fesyen tudung itu.

Sedarlah, Nabi Muhammad SAW itulah contoh  ikutan terbaik, bukan para artis! Sedarlah, artis-artis itu sedang  menyesatkan kita dalam diam. Mahukah kita masuk longkang bersama-sama  artis itu?

0 comments:

©2009 .:: Makalah Ilmu ::.. Hakcipta Ada Yang Terpelihara.
Diterbitkan Oleh : Amirul Amin. | Pengurusan Oleh : Malaysia Terjah. | Pautan Luaran Oleh : Afiqah Network Link.
PENAFIAN : Ini adalah laman Web ATAU Blog sokongan untuk tujuan PROMOSI ATAU SUMBANGAN sahaja.
Tiada kaitan dengan : Laman Web ATAU Blog Syarikat ATAU Agensi ATAU Individu ATAU Organisasi yang disertai.
Tiada mana-mana bahagian portal ini boleh diubah, disalin, diedar, dihantar semula, disiarkan, dipamerkan, diterbitkan, dilesenkan, dipindah, dijual atau diuruskan
bagi tujuan komersil dalam apa bentuk sekalipun tanpa mendapat kebenaran secara bertulis yang jelas terlebih dahulu daripada
Malaysia Terjah.