Ibrah dari bola sepak
Monday, June 20, 2011
Sebut sahaja tentang bola sepak, pasti peminat fanatik sukan ini akan cuba menyenaraikan beberapa pasukan pilihan hati. Tidak kiralah baik pasukan tempatan, mahupun pasukan yang sudah gah di mata dunia. Namun, jika hanya ditonton tanpa mengambil sebarang pengajaran, sukan bola sepak ini tidak akan memberikan apa-apa makna. Siapa kata kita sebagai peminat sukan nombor satu dunia tidak boleh mencari ibrah atau pengajaran setiap kali permainan bermula?
MATLAMAT
Semua orang hendakkan gol. Gol itu bukan sahaja merupakan matlamat pemain bahkan juga menjadi prospek utama kepada jurulatih, pengurus pasukan, apatah lagi penyokong yang bermati-matian menyokong pasukan pilihan mereka. Sikap mengejar gol wajar dipuji, sama seperti sikap suka mengejar matlamat. Kita renungkan kembali, apa matlamat kita hidup di atas muka bumi ini? Sudah tentu ingin menjadi hamba Allah barulah layak menjadi khalifah di muka bumi ini. Kalau hendak laksanakan perintah Allah, sokongan itu memainkan peranan penting sama sekali. Bagaimana hendak menjalankan tanggungjawab mengimarahkan bumi dengan amar makruf nahi mungkar jika tiada siapa yang sudi memberikan semangat dan sokongan? Kalau pasukan bola ramai sahaja penyokongnya, kenapa bukan pasukan agama yang hendak tegakkan kebenaran juga? Patutlah program-program agama jarang mendapat sambutan, sebaliknya stadium yang selalu dipenuhi lautan manusia.
STRATEGI
Main bola perlu ada strategi dan perancangan yang teliti. Begitu juga dengan kehidupan. Pernahkah kita merancang setelitinya hidup kita jika hendak dibandingkan dengan perancangan yang dilakukan oleh pengurus pasukan bola sepak? Bola sepak dan hidup sama saja, gagal perancangannya maka punahlah impian untuk menggapai matlamat yang dikehendaki. Kadang-kadang pula, terjadi sebegini. Perancangan sudah elok tetapi kita sendiri yang tidak berdisiplin dalam mengikut perancangan tersebut. Lihat sajalah dalam kisah peperangan Badar, nabi Muhammad telah punya perancangan namun ada pengikutnya yang melanggar. Akibatnya mereka menemui kegagalan.
PASUKAN
Bola sepak adalah acara berpasukan, tidak boleh dimainkan sendirian. Kalah atau menang sama-sama menanggungnya. Semangat berpasukan akan membuatkan segala kerja menjadi mudah, Belajarlah untuk tidak menyalahkan orang lain, ingatlah kita juga pernah melakukan kesalahan. Jangan pula lupa yang dia juga pernah buat yang betul. Belajar juga untuk berkongsi kerana kemenangan yang dimiliki bukan milik si penjaring gol saja, malah rakan-rakan lain yang juga berusaha mengumpan bola sehingga berjaya menerjah tiang gol. Membantulah jangan membuntu. Jika dikaji dalam aspek kehidupan seharian, banyak projek tidak berjalan lancar kerana tiadanya ramai orang yang mengumpan. Projek pembinaan masjid atau surau selalu terbengkalai. Kenapa? Kerana tiada yang sudi mengumpan derma dan sebagainya. Jika ada sekalipun, tidaklah seberapa mana.
JANGAN MENDENGKI
Permainan bola mengajar kita supaya tidak dengki-mendengki sesama ahli pasukan, baik pasukan sendiri ataupun pasukan lawan. Kenapa perlu dengki? Sedangkan dia yang menjaringkan gol, bila menang sama-sama julang piala. Jika ada juga yang menyemai sikap ini, alamatnya pincanglah pasukan tersebut. Mana tidaknya, pemain bawah dengki dengan pemain atas, lalu dek kerana dengki akhirnya rembat ke gawang gol sendiri. Ramai umat Islam yang sanggup merembat agama sendiri. Lihat sajalah maksiat merata-rata, buat dosa, rasuah, cerai berai, bunuh, rempit, buang anak dan banyak lagi kegiatan yang mencemarkan imej Islam sendiri.
Hakikatnya, jika berlaku kejadian tersebut, Islam akan dipandang sebelah mata, bahkan juga langsung tidak menarik minat orang bukan Islam untuk cuba mendekati agama suci ini. Banyak sebenarnya pengajaran daripada permainan bola sepak ini, bukan sekadar hanya meraikan kemenangan semata-mata.
Wallahua’lam.
0 comments:
Post a Comment