Tanda-tanda penyakit dalam agama
Monday, April 18, 2011
Pengalaman dan sejarah telah mengajar kita bahawa penyakit bangsa Timur ini wujud dalam pelbagai keadaan dan telah menular ke setiap sudut hayat mereka. Dalam sudut politik bangsa ini telah dijajah oleh musuhnya. Dalam masa yang sama masyarakatnya pula hidup dalam keadaan berpuak, bermusuh dan berpecah.
Dalam sudut ekonomi, amalan riba berleluasa di semua lapisan dan syarikat asing menguasai sumber kekayaan mereka. Dalam sudut pemikiran, timbul kekeliruan, kemurtadan dan amalan menolak tuhan yang boleh menggugat akidah mereka dan menghancurkan nilai-nilai baik dalam diri masyarakat mereka. Dalam sudut sosial pula, wujud budaya pergaulan bebas dan keruntuhan akhlak serta tidak mahu terikat dengan mana-mana budaya baik yang mereka warisi daripada generasi lama.
Sifat terikut-ikut dengan budaya barat juga menular dalam kehidupan harian mereka ibarat bisa ular yang meracuni darah dan mencemar kesucian hidup mereka. Begitu juga dengan undang-undang ciptaan manusia yang tidak mampu menakutkan penjenayah dan tidak mampu mendidik serta tidak mampu mengembalikan hak daripada orang yang zalim. Mereka mengamalkan undang-undang yang tidak mampu menandingi undang-undang langit yang telah digubal oleh Tuhan yang mencipta manusia, Raja segala-galanya dan Pemilik jiwa manusia.
Begitu juga wujud kepincangan dalam dasar pelajaran dan polisi pendidikan hingga menghalang generasi baru; bakal pemimpin dan pendokong kebangkitan masa depan daripada menerima bimbingan yang betul. Dalam sudut kejiwaan, bangsa ini ditimpa sifat-sifat lemah semangat, malas, pengecut, rendah diri, bacul, tamak dan pentingkan diri sendiri yang menyebabkan mereka tidak rela untuk berkorban. Mereka hanya berdiam diri tanpa mampu memberikan sebarang pengorbanan. Akhirnya bangsa ini terpinggir daripada semangat kepahlawanan mereka kepada hanya mahu berseronok dan berhibur.
Apakah yang boleh diharapkan daripada sebuah bangsa yang memiliki segala faktor kelemahan ini malah mereka berada di tahap maksimum; dijajah, berpuak, mengamalkan riba, dikuasai syarikat asing, anti-agama, kepincangan sistem pendidikan dan perundangan, tidak bersemangat, tamak, bacul, pengecut, kagum dengan musuh sendiri hingga bersedia mengikut apa sahaja yang dilakukan oleh musuh terutama amalan yang tidak sihat.
Mana-mana satu daripada penyakit ini sudah cukup untuk membunuh sebuah bangsa. Apatah lagi jika semua penyakit ini ada pada mereka. Jika tidak kerana kekebalan, keutuhan dan kekuatan yang dimiliki oleh bangsa Timur yang diheret oleh musuh dan semenjak sekian lama cuba disuntik dengan kuman wabak hingga kuman-kuman ini membiak, jika tidak kerana kekebalan ini sudah tentu bangsa ini tidak lagi wujud. Namun Allah dan orang-orang yang beriman tidak akan merelakannya.
Saudara, ini adalah penyakit ummah yang telah dikenal pasti oleh Ikhwan. Inilah yang sedang diusahakan oleh mereka iaitu untuk menyembuh dan mengembalikan semula kesihatan dan semangat mudanya yang telah hilang.
0 comments:
Post a Comment