Followers

SABAR SENJATA AJAIB MUKMIN HADAPI CABARAN HIDUP

Friday, April 1, 2011

Tazkirah Jumaat
18 Mac 2011 (12 Rabiul Akhir 1432H)





Oleh Mohd Rizal Azman Rifin




Umat tak berputus asa berdepan ujian jadi penanda aras ketinggian darjat keimanan, takwa.


SATU nilai peribadi mukmin mesti ada ialah sabar kerana banyak keterangan daripada al-Quran dan pesanan Rasulullah SAW menjelaskan bahawa sabar nilai dimiliki setiap mukmin beriman.



Sabar senjata paling ajaib kepada setiap Mukmin untuk berdepan sebarang keadaan dalam menyusuri aliran kehidupan di dunia. Ia juga jalan terbaik menuju kejayaan dan kebahagiaan. Tiada jalan penyelesaian terbaik melainkan mengamalkan sikap sabar.


Allah ada menyebut kira-kira 90 kali dalam al-Quran berkenaan sabar. Imam Ahmad dalam kitabnya, az-Zuhud, ada memetik kata-kata Saidina Umar al-Khattab: “Kami dapati sebaik-baik kehidupan kami adalah dengan kesabaran.”


Sikap sabar terangkum dalam sabar badani atau fizikal dan sabar nafsi. Kedua-dua sifat sabar itu pula dapat dipecahkan kepada dua lagi iaitu ikhtiyari atau pilihan dan idtirari atau keterpaksaan.


Sabar badani ikhtiyari itu adalah sikap sabar ketika melaksanakan sesuatu amalan atau kerja yang berat. Sabar badani idtirari pula bersabar menahan rasa sakit, contohnya menahan rasa sakit dipukul. Di sini seseorang itu tiada pilihan melainkan terpaksa bersabar.


Sabar nafsi ikhtiyari ialah sabar untuk tidak melakukan sesuatu dianggap bertentangan syariat. Sabar nafsi idtirari pula seperti orang yang bersabar tatkala kehilangan atau kematian seseorang dikasihinya.


Dalam keadaan sedemikian, jika seseorang itu tidak bersabar maka akan terjadi pelbagai tingkah laku menyalahi kehendak agama seperti menangis secara melampau atau menjerit-jerit sebagai tanda sedih. Ini semua bertentangan syariat agama.


Dikisahkan, ada seorang ahli hikmah berkata: “Aku tidak pernah kalah kecuali oleh seorang pemuda yang pintar. Suatu hari, anak muda itu bertanya kepadaku, apakah sabar itu? Lalu akupun menjawab, jika kami memiliki makanan, maka kami makan dan jika tiada makanan, kami akan bersabar.


Pemuda itu kemudian berkata lagi: “Jika itu, biasa dilakukan oleh anjing di kampung kami. Terdiam seketika aku mendengar kata-kata pemuda itu. Seketika kemudian, aku bertanya kepada anak muda itu: Wahai anak muda, jika demikian apa sebenarnya makna sabar?


Pemuda itu dengan tenang menjawab: “Jika kami tidak ada makanan maka kami bersabar, dan sebaliknya jika kami dikurnia Allah makanan, maka kami biasakan amalan itsar, mendahulukan orang lain.”


Sikap sabar menjadi penanda aras kepada mantapnya iman dan takwa seseorang mukmin. Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya Allah berfirman: Jika aku menguji hamba-Ku dengan hilangnya dua hal yang sangat dicintainya (dua matanya) kemudian dia boleh bersabar, maka akan Aku ganti keduanya dengan syurga.” (Hadis riwayat al-Baihaqi)


Ini bermakna seseorang mukmin yang bersabar atas apa saja penderitaan dan musibah menimpanya, Allah menjanjikan balasan syurga. Kesabaran sifat yang boleh diusahakan manakala pada sesetengah orang memang dikurniakan Allah sifat sabar.


Untuk berlatih menjadi penyabar itu sesuai dengan pesanan Rasulullah SAW bermaksud: “Dan barang siapa yang berusaha bersabar maka Allah akan menyabarkannya.”


Sifat sabar menghadapi apa juga dugaan dan ujian Allah satu kebaikan yang agung, malah Nabi SAW menjelaskan sabar itu cahaya dalam sabda yang bermaksud: “Solat adalah sinar, sedekah adalah bukti, sabar adalah cahaya dan al-Quran adalah hujah bagimu.” (Hadis riwayat Imam Muslim)


Permasalahan kehidupan kita tidak seperit dan seteruk pengalaman Nabi Muhammad SAW dan sahabat menyebarkan Islam di Makkah. Jadi seharusnya kita sentiasa memperingatkan diri supaya tidak mudah berputus asa atau mengambil sikap pesimis apabila bertembung ujian dalam kehidupan.


Diriwayatkan suatu ketika Nabi SAW melalui hampir dengan seorang perempuan yang sedang menangis di sebelah kubur. Lalu Nabi SAW pun berkata kepadanya: “Bertakwalah kepada Allah dan bersabarlah. Lalu perempuan itu menjawab: Jauhkan daripadaku! kerana engkau tidak pernah mendapat musibah seperti aku.”


Sebenarnya perempuan itu tidak mengetahui yang berpesan kepadanya itu adalah Rasulullah SAW. Kemudian Nabi meninggalkan perempuan itu. Nabi SAW langsung tidak menunjukkan rasa kecewa dan marah atas kata-kata perempuan itu. Ini satu contoh terbaik buat kita semua khususnya pendakwah supaya sentiasa berhati lembut dan sabar dengan apa saja kerenah manusia.


Apabila saja diberitahu orang yang berpesan kepadanya di kawasan kubur itu adalah Rasulullah SAW, maka dia pun bergegas menuju ke rumah Baginda untuk memohon ampun. Namun, malang sekali, tatkala sampai di rumah Nabi SAW, Baginda tiada pada masa itu.


Kemudian ketika bertemu Rasulullah SAW, perempuan itu berkata: “Maaf, saya tadi tidak melihat engkau wahai Rasulullah. Nabi SAW berkata, “Sesungguhnya, kesabaran itu ada pada masa pertama.” (Hadis riwayat Bukhari)


Demikian penting nilai sabar dalam diri setiap mukmin dan kita hendak mula bersabar dengan apa saja musibah menimpa dan anggaplah ia sebagai ujian Allah kepada kita untuk menilai darjat keimanan dan ketinggian takwa. Mukmin yang penyabar adalah mukmin yang unggul.


http://www.bharian.com.my/bharian/articles/SabarsenjataajaibMukminhadapicabaranhidup/Article/index_html

0 comments:

©2009 .:: Makalah Ilmu ::.. Hakcipta Ada Yang Terpelihara.
Diterbitkan Oleh : Amirul Amin. | Pengurusan Oleh : Malaysia Terjah. | Pautan Luaran Oleh : Afiqah Network Link.
PENAFIAN : Ini adalah laman Web ATAU Blog sokongan untuk tujuan PROMOSI ATAU SUMBANGAN sahaja.
Tiada kaitan dengan : Laman Web ATAU Blog Syarikat ATAU Agensi ATAU Individu ATAU Organisasi yang disertai.
Tiada mana-mana bahagian portal ini boleh diubah, disalin, diedar, dihantar semula, disiarkan, dipamerkan, diterbitkan, dilesenkan, dipindah, dijual atau diuruskan
bagi tujuan komersil dalam apa bentuk sekalipun tanpa mendapat kebenaran secara bertulis yang jelas terlebih dahulu daripada
Malaysia Terjah.