Dakwah dalam lagu
Wednesday, June 29, 2011
Assalamualaikum wbt.
Pertama sekali, marilah kita bersama mengkaji semula apakah yang dimaksudkan dengan dakwah itu sendiri sebelum kita mengupas lebih lanjut isu ini.
Dakwah bermaksud setiap kegiatan yang bersifat menyeru, mengajak dan memanggil orang untuk beriman dan taat kepada Allah s.w.t sesuai dengan garis akidah, syariat dan akhlak Islamiah. Secara kebahasaan, dakwah adalah kata dasar (masdar) dari kata kerja da’a-yad’u yang bererti panggilan, seruan atau ajakan. Kata dakwah sering dirangkaikan dengan kata “ilmu” dan kata “Islam”, sehingga menjadi “ilmu dakwah” dan “dakwah Islam” atau al-da’wah al-Islamiyah. Dari segi istilah syara’ pula membawa pengertian yang lebih khusus iaitu seruan atau panggilan ke jalan Allah s.w.t.
Seperti yang sudah sedia maklum, dakwah mempunyai pelbagai wasilah untuk disampaikan kepada orang ramai. Bukan sahaja menerusi suara-suara lantang yang menegakkan Islam di mata masyarakat. Cuba kita fikirkan, bagaimana pula situasinya jika seseorang itu tidak punya kekuasaan atau kekuatan untuk berdakwah dengan cara sebegitu? Apakah kita hanya mampu berdiam diri, menyaksikan pendakwah-pendakwah lain melakukan kerja mereka tanpa sedikitpun rasa ingin membantu memperjuangkan agama Islam?
Pada zaman millennium ini, golongan remaja sudah tidak menggemari trend dakwah dahulu, yang mana mereka perlu ke masjid atau surau, mendengar pak imam ataupun mana-mana penceramah memberikan pengisian tertentu. Mereka turut mahukan kemodenan dalam dakwah. Bukan mereka menolak mentah-mentah apa yang disampaikan oleh orang-orang tadi, sebaliknya cara pendekatan yang digunakan membuatkan remaja mudah bosan. Hasilnya, apa yang ingin diterjemahkan akal tidak sampai kepada mad’unya.
Penulis sendiri percaya, remaja zaman millennium mahukan pembaharuan, baik dalam apa jua aspek kehidupan, termasuklah cara yang digunakan daie untuk menarik mereka ke jalan yang benar. Oleh sebab itu, muncullah beberapa kumpulan manusia yang menggelarkan diri sebagai munsyid, yang bangkit memperjuangkan dakwah menerusi lagu-lagu yang dinyanyikan mereka. Hasilnya cukup memberangsangkan. Pada awal tahun 1990-an, kumpulan seperti Nada Murni, Al-Mizan, dan sebagainya mula mendapat perhatian orang ramai. Lagu-lagu mereka menjadi siulan masyarakat. Liriknya cukup puitis, menggabungkan bait-bait perkataan yang mampu menarik minat orang ramai untuk menghayatinya.
Belakangan ini, penasyid-penasyid baru muncul dengan banyaknya bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Tidak terkecuali golongan penasyid senior yang masih utuh memegang takhta sebagai penasyid pilihan sepanjang zaman. Mereka memegang matlamat ingin menyebarkan dakwah sambil berhibur. Bahkan Rasulullah S.A.W sendiri tidak menghalang ummatnya untuk berhibur, asalkan jangan melampaui batas-batas agama. Baginda sendiri disambut dengan aluan nasyid dan marhaban sewaktu tiba di kota Madinah semasa berhijrah.
Memetik kata-kata Imam Besar Masjid Negara sekarang, elemen yang penting dalam sesebuah penciptaan lagu ialah sesebuah lagu itu haruslah membuatkan manusia yang mendengarnya mengingati Allah dan RasulNya. Bahkan, lirik-lirik nasyid harus diselitkan nilai-nilai positif termasuklah amalan murni sesama manusia dan sebagainya.
Barangkali ada segelintir pihak yang menyalah gunakan keterbukaan ini. Lagu-lagu nasyid diselitkan dengan elemen cinta dan hawa nafsu sesama manusia, padahal kita sendiri tahu hal inilah yang membuatkan manusia yang mendengarnya menjadi leka dan lalai.
Baru-baru ini, timbul isu seorang bekas penyanyi sebuah kumpulan rock sekitar tahun 90-an yang menyertai kumpulan tabligh sejak enam tahun lalu yang menyatakan tidak pernah ada dakwah menerusi lagu serta menambah lagu walaupun yang berkonsepkan ketuhanan tidak boleh disifatkan sebagai dakwah. Beliau menambah lagi, ada dua hak yang perlu dilakukan oleh seorang pendakwah iaitu berjumpa orang ramai dari rumah ke rumah mengajak melakukan ibadat dan kebaikan serta berdoa kebaikan pada sepertiga malam menerusi solat tahajud manakala ketentuan seseorang itu mendapat hidayah menjadi hak Allah. Bahkan beliau menambah, jika benarlah dakwah dapat dilakukan menerusi lagu, sudah tentu sejak zaman baginda Rasulullah S.A.W. dan para sahabat mereka berdakwah dengan cara ini.
Kenyataan tersebut dibidas pula oleh seorang penyanyi nasyid, juga komposer untuk lagu-lagu berunsurkan ketuhanan yang menyatakan kaedah dakwah tidak boleh disempitkan dengan cara berjumpa orang ramai dari rumah ke rumah semata-mata sebaliknya ia boleh diperkembangkan terutamanya pada zaman teknologi. Rasulullah S.A.W pernah bersabda, “Sampaikanlah daripadaku walaupun hanya sepotong ayat.” Menerusi lagu, kita dapat mengetahui pelbagai perkara tentang Islam, umpamanya rukun Islam dan Iman juga perjalanan hidup Rasulullah yang selalu digarapkan menjadi lagu. Katanya lagi, dakwah melalui nasyid nampak kecil, tetapi sebenarnya boleh memberikan kesan yang besar kepada pendengar.
Jadi, mana satu kebenaran antara kedua-dua kenyataan ini? Bagi diri penulis, setiap benda akan ada elemen kebenaran dan kebatilan. Lagu-lagu boleh dijadikan dakwah jika benar cara penghayatannya, juga boleh menjadi salah jika salah guna dalam memahami maksud di sebalik apa yang ingin disampaikan oleh orang yang menulis lagu tersebut.
Jika ada yang mengadu, nasyid terlalu rancaklah, tidak kena gayalah, terlalu modenlah dan sebagainya, haruslah diingat bahawa selain mengikut peredaran zaman, lagu-lagu dakwah tidak mempunyai rentak dan irama yang spesifik. Jadi, para penulis lagu bebas berkarya asalkan masih lagi mengikut syarak.
Raihan |
Hijjaz |
Devotees |
Wallahua’lam.
0 comments:
Post a Comment