Followers

Wahai Bakal calon Zaujah..Ku

Thursday, May 12, 2011


Bismillahirrahmanir rahim...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani
Assolatuwassalam a'la Rasulillah
Selawat dan Salam buat Nabi Muhammad saw, Pembawa Rahmat Seluruh 
Alam...

Salam sejahtera buat calon zaujahku yang dihijab pertemuan olehNya 
sehingga detik kita disatukan dengan lafaz ijab bersaksi qabul 
berwali. Semoga langkahmu tangkas dengan semangat juang Islam. Walau 
apapun yang kita lakukan, dasarilah ia dengan memohon keredhaanNya 
supaya setiap langkah itu beroleh keberkatan.


"Ya Allah, gembirakanlah aku dengan redhaMu"
Kukira untaian doa srikandi iman, Sayyidah Nafisah binti Hasan bin 
Zaid bin Hasan bin Ali bin Abu Thalib ini mampu menyuburkan hatimu 
dengan Nur KasihNya.

"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan Nya ialah Dia menciptakan 
untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan 
merasa tenteram kepadanya, dan dijadikannya di antaramu rasa kasih 
dan sayang.¨ (Ar-Rum: 21)

Telah dikhabarkan bahawa engkau adalah calon yang sekufu untukku, 
bakal menjadi peneman solehah bersamaku merentas becaknya denai-denai 
perjuangan Islam ini. InsyaAllah. Kesesuaian ini telah kupohon dalam 
setiap doaku padaNya, dalam setiap sujudku, dalam setiap ibadah hajat 
dan istikharahku selama ini. Tanpa jemu walaupun pertemuan itu masih 
dirahsiakan. Besar kurniaanNya kepada kita. Hijab itu membolehkan aku 
dan kau melengkapkan diri masing-masing dengan bekalan agama agar 
baitul muslim kita nanti tidak suram dengan Nur keimanan yang malap.
Calon zaujahku yang dirahmati,

"Dinikahi seorang wanita itu kerana empat perkara hartanya, 
keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah hal 
keagamaannya, maka beruntunglah kedua-dua tanganmu.."

Bukan harta yang kuperlukan, bukan keturunan yang menjadi keutamaan, 
bukan kecantikan yang kuidamkan, tetapi kefasihan agamamu itu yang 
aku dambakan. Itulah hikmah sekufu yang menjadi asas usrah muslim 
antara aku, kau dan anak-anak pewaris ketauhidan Islam dalam 
mengESAkan Allah Yang Satu.

"Hai manusia, sesungguhnya Kami ciptakan kamu dan lelaki dan 
perempuan dan menjadikan kamu berbangsa--bangsa dan bersuku-suku 
supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling 
mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa 
di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi maha 
Mengenal." (Al-Hujarat: 13)

Sirah telah membuktikan bahawa seorang Khalifah mulia menjodohkan 
puteranya dengan seorang gadis penjual susu lantaran iman yang kuat 
menjadi benteng gadis itu daripada menderhakai Allah. Akhlak indah 
yang menjadi pakaian gadis suci itu membuatkan hati Khalifah terpaut. 
Inilah kisah yang ingin aku kongsikan denganmu wahai calon zaujahku.
Pada suatu malam Khalifah Umar Ibnu Khattab sedang membuat tinjauan 
terhadap rakyat-rakyatnya. Sampailah Umar ra. di sebuah rumah 
penduduk, ketika itu mereka sedang berbincang tentang sesuatu. Umar 
mendengar semua perbincangan mereka. 

Seorang ibu berkata kepada anak perempuannya: "Anakku bangunlah, serta 
campurkanlah susu itu dengan air. Puterinya menjawab: Apakah ibu 
belum mendengar larangan daripada Amirul Mukminin itu? Ibu itu 
bertanya lagi:"Apakah larangan Amirul Mukminin itu?" Puterinya 
menjelaskan: "Wahai ibu, sesungguhnya Amirul Mukminin melarang umat 
Islam menjual susu yang dicampurkan dengan air"Ibu itu berkata 
lagi: "Cepatlah engkau campurkan susu itu dengan air, tak usahlah 
kamu takut dengan Saidina Umar, kerana ia tidak melihatnya" Puterinya 
menjawab: "Wahai ibuku, memang Umar ra. tidak melihat kita, tetapi 
Tuhan yang disembah Umar melihat kita.

Maafkan saya wahai ibuku, kerana tidak dapat mematuhi permintaanmu. 
Saya tidak mahu menjadi orang yang munafik mematuhi perintah di 
hadapan orang ramai, tetapi melanggarnya apabila di belakang 
mereka."Khalifah Umar ra. yang terkenal tegas itu menjadi terharu 
hatinya. Umar ra. merasa bangga dengan ketaqwaan gadis miskin penjual 
susu tersebut. Setelah pagi, Saidina Umar memerintahkan puteranya 
Ashim supaya pergi ke rumah gadis tersebut.

"Wahai anakku, pergilah engkau ke sebuah rumah penduduk, di dalamnya 
ada gadis penjual susu, jika ia masih sendiri, pinanglah ia. Mudah-
mudahan Allah akan memberikan kurnia kepadamu anak yang soleh."

Ternyata dugaan Saidina Umar ra. itu benar sekali. Ashim menikah 
dengan wanita yang mulia tersebut dan mendapat seorang anak perempuan 
yang bernama Ummu Ashim. Kemudian Ummu Ashim berkahwin dengan Abdul 
Aziz bin Marwan, dan mereka mendapat seorang anak lelaki yang bernama 
Umar bin Abdul Aziz, yang kemudian menjadi seorang khalifah yang 
terkenal dan bijaksana.

Jika asas baitul muslim itu kukuh, tidak mustahil ia mampu melahirkan 
pejuang-pejuang agamaNya yang berpedangkan taqwa dan berperisaikan 
iman. Di hati mereka bercahaya dengan kasih sayang Ilahi kerana 
mereka lahir daripada bait penyatuan dua jiwa yang hidup 
berbumbungkan sunnah berpelitakan al-Quran, berdindingkan wasatiah 
dan qanaah. Itulah hakikat sebuah baitul muslim.

Calon zaujahku yang telah dijanjikanNya ,

" Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah 
telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain 
(wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian 
dari harta mereka".(An- Nissa':34)

Surah yang diberikan kemuliaan buatmu dan insan yang bergelar wanita. 
Istimewanya dirimu sehinggakan Allah menukilkan pesananNya dalam 
surah khusus buatmu. Dan itulah janji-janji Allah bahawa seorang 
wanita yang solehah itulah mutiara syurga buat suaminya walaupun 
kekayaan duniawi tidak terhampar di kakimu.

Maafkan aku kiranya tiada harta yang mewah, mutiara atau kilauan 
permata kupersembahkan dalam hidupmu. Tetapi, aku hanya mampu 
menjanjikan hantaran yang paling berguna untuk kita berdua sepanjang 
zaman. Itulah panduanNya, Qalamullah. Islam menegaskan agar ku ajar 
dirimu mengenal Allah, zat yang agung. Itulah kunci kesempurnaan yang 
hakiki.

Seringkali kau mengeluh, kau hanya insan lemah. Sedarilah bakal 
isteriku, kelemahanmu itu adalah kekuatan yang dikurniakan Allah 
buatmu. Dari kelemahan itu, terletaknya rahim yang telah melahirkan 
seorang Rasul, seorang Nabi, seorang abid dan juga pejuang jihad yang 
Allah janjikan syurga demi setitis darah mereka.
Ia lahir daripada jerih doamu, penat sabarmu dan lelah tabahmu. Akal 
setipis rambut, tebalkan dengan ilmu.Hati serapuh kaca,kuatkan dengan 
iman. Perasaan selembut sutera,hiasilah dengan akhlak
Bantulah aku dalam mentakrifkan pernikahan ini. Semoga ia menjadi 
wasilah sebuah pembangunan insaniyyah yang akan menjadi khemah dakwah 
dan tarbiyyah.

Bakal isteriku yang dirahmati,
Titipan ini sudah sampai ke penghujungnya. Namun, doaku padamu tidak 
pernah berakhir. Seperti doaku padaNya, moga saf antara aku dan 
dirimu akan bersama-sama melalui siratulmustaqim yang lurus menuju 
jannahNya yang dirindui. InsyaAllah.

Andai ada ingatan darimu, pohonkan dariNya moga aku terus tegak dalam 
memperjuangkan kalimahNya walau dijengah mehnah lantaran zaman ini 
adalah pengakhiran sebuah destinasi.. Dunia sudah terlalu tua, ia 
hanya menanti masa.

Zauj Mu,

Muhammad Amirul Amin

0 comments:

©2009 .:: Makalah Ilmu ::.. Hakcipta Ada Yang Terpelihara.
Diterbitkan Oleh : Amirul Amin. | Pengurusan Oleh : Malaysia Terjah. | Pautan Luaran Oleh : Afiqah Network Link.
PENAFIAN : Ini adalah laman Web ATAU Blog sokongan untuk tujuan PROMOSI ATAU SUMBANGAN sahaja.
Tiada kaitan dengan : Laman Web ATAU Blog Syarikat ATAU Agensi ATAU Individu ATAU Organisasi yang disertai.
Tiada mana-mana bahagian portal ini boleh diubah, disalin, diedar, dihantar semula, disiarkan, dipamerkan, diterbitkan, dilesenkan, dipindah, dijual atau diuruskan
bagi tujuan komersil dalam apa bentuk sekalipun tanpa mendapat kebenaran secara bertulis yang jelas terlebih dahulu daripada
Malaysia Terjah.