Followers

Beberapa Persoalan Berkaitan Sumpah.

Saturday, February 26, 2011

* Sah atau tidak sumpah dengan lafaz yang tidak jelas?

Para ilmuan berbeza pendapat tentang orang yang bersumpah dengan lafaz yang tidak jelas, umpama “Demi janji Allah…” atau orang yang hanya menyebut “Aku bersumpah…” tanpa menyandarkannya kepada Allah. Perbezaan ini membuahkan tiga pendapat:


1. Sumpah tersebut adalah sah (valid).

2. Sumpah tersebut tidak sah (invalid).

3. Sumpah tersebut sah jika penyumpah meniatkannya sebagai satu sumpah,
tidak sah jika penyumpah tidak meniatkannya sebagai satu sumpah.


Di antara tiga pendapat ini, yang terbaik ialah meminta penyumpah melafazkan semula sumpahnya dengan lafaz yang pasti, umpama “Demi Allah aku bersumpah tidak melakukan hal ini”. Jika dia enggan, maka sumpahnya dianggap tidak sah kerana memiliki unsur keraguan di dalamnya.

* Sah atau tidak sumpah dengan ucapan insya-Allah?

Sumpah ini tidak sah berdasarkan hadis berikut:

مَنْ حَلَفَ فَاسْتَثْنَى فَإِنْ شَاءَ رَجَعَ وَإِنْ شَاءَ تَرَكَ غَيْرَ حِنْثٍ.

Sesiapa yang bersumpah lalu dia membuat pengecualian (dengan menyebut insya-Allah), maka jika dia menghendaki dia boleh menarik balik (sumpahnya itu) dan jika dia menghendaki dia boleh mengabaikan (sumpahnya itu) kerana ia bukanlah satu pelanggaran sumpah.[14]

* Bolehkah bersumpah dengan al-Qur’an?

Kamal bin al-Sayyid Salim hafizhahullah menjawab persoalan ini:

al-Qur’an ialah perkataan Allah (kalamullah) dan ia bukan ciptaan (Allah). Perkataan Allah yang suci itu merupakan satu sifat dari sifat-sifat-Nya. Oleh kerana itu jumhur ilmuan, kecuali Abu Hanifah, berpendapat boleh bersumpah dengan al-Qur’an dan sumpah itu menjadi sah… Sementara itu tokoh Mazhab Hanafi yang mutakhir seperti Ibn al-Hamam dan al-Aini menguatkan pendapat jumhur membolehkan sumpah dengan al-Qur’an. (Demikian kenyataan Wahbah al-Zuhaili dalam) al-Fiqh al-Islam wa Adillatuh, jld. 3, ms. 379.

Sesiapa yang bersumpah dengan mushaf al-Qur’an sementara yang dia maksudkan ialah perkataan Allah yang tertulis dalam mushaf itu, maka ia dibolehkan. Namun jika yang dia maksudkan ialah lembaran kertas yang tertulis (atasnya ayat al-Qur’an), maka ia tidak dibolehkan. Dan Allah sahaja yang lebih mengetahui.[15]

Saya (Hafiz Firdaus) menambah, dalam suasana kebanyakan umat Islam masa kini yang tidak faham tentang sifat Kalamullah dan kaitannya dengan al-Qur’an, serta tidak tahu membezakan antara Kalamullah dan tulisan di atas al-Qur’an, maka adalah lebih selamat mereka tidak bersumpah dengan menggunakan al-Qur’an. 

* Apakah hukum orang yang melanggar sumpahnya?

Orang yang bersumpah dengan menepati syarat sahnya lalu dia melanggar sumpah itu, maka diwajibkan kafarat sumpah berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

لاَ يُؤَاخِذُكُمْ اللَّهُ بِاللَّغْوِ فِي أَيْمَانِكُمْ وَلَكِنْ يُؤَاخِذُكُمْ بِمَا عَقَّدْتُمْ الأَيْمَانَ فَكَفَّارَتُهُ إِطْعَامُ عَشَرَةِ مَسَاكِينَ مِنْ أَوْسَطِ مَا تُطْعِمُونَ أَهْلِيكُمْ أَوْ كِسْوَتُهُمْ أَوْ تَحْرِيرُ رَقَبَةٍ فَمَنْ لَمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ ذَلِكَ كَفَّارَةُ أَيْمَانِكُمْ إِذَا حَلَفْتُمْ وَاحْفَظُوا أَيْمَانَكُمْ كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ.

Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah oleh-Nya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dalam keadaan bersungguh-sungguh. Maka kafaratnya ialah:

1. Memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana 
yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu,
2. Atau memberi pakaian untuk mereka,
3. Atau memerdekakan seorang hamba.
4. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan tiga pilihan kafarat 
di atas), maka hendaklah dia berpuasa tiga hari.

Yang demikian itu ialah kafarat penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah - peliharalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya (hukum-hukum agama-Nya) supaya kamu bersyukur. [al-Maidah 5:89]

Bagi sumpah yang berganda, maka ia diperincikan sebagai berikut:

1. Orang yang melafazkan sumpah beberapa kali untuk satu perkara yang 
sama lalu dia melanggarnya, maka kafaratnya hanya sekali.
2. Orang yang melafazkan satu sumpah untuk beberapa perkara dengan 
satu lafaz, maka satu kafarat bagi setiap perkara yang dilanggarnya.[16]

Walaubagaimanapun terdapat beberapa jenis pelanggaran sumpah yang tidak 
diwajibkan kafarat, iaitu:

1. Sumpah dusta (al-Yamin al-Ghamus). Sumpah ini hukum asalnya memang 
tidak sah kerana ia adalah dusta. Disebabkan ia sejak awal adalah tidak 
sah, maka pelanggarannya tidak mewajibkan kafarat. Akan tetapi orang yang 
melakukan sumpah dusta tersebut diwajibkan bertaubat dan menyatakan apa 
yang benar di sebalik pendustaannya itu. 

2. Percakapan biasa yang tidak dimaksudkan sebagai sumpah (
al-Yamin al-Laghw). Terhadap ayat 89 surah al-Maidah di atas, ‘Abd 
Allah al-Bassam hafizhahullah menulis: “Aisyah radhiallahu 'anha 
menafsirkan sumpah yang tidak dimaksudkan adalah perkataan yang sering 
diucapkan oleh lisan manusia saat mereka berbicara, iaitu ucapan mereka 
sendiri seperti La wallahi dan Bala billah. Ia adalah ungkapan yang sering 
diucapkan oleh lisan tetapi tidak diniatkan oleh hati sebagai sumpah. 
Penafsiran sebegini dikemukakan oleh tiga imam mazhab.”[17]

3. Orang yang melanggar sumpahnya kerana terlupa, keliru atau dipaksa. 
Ini berdasarkan keumuman hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ وَالنِّسْيَانَ وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ.

Sesungguhnya Allah memaafkan dari umatku kesilapan, kekeliruan dan apa 
yang dipaksa ke atasnya.[18]

Orang yang telah bersumpah untuk sesuatu yang akan datang, lalu kemudian 
dia mendapati sesuatu yang lebih baik dari apa yang dia sumpahkan, maka 
tidaklah bersalah untuk dia melanggar sumpahnya yang awal, asalkan dia 
membayar kafarat. Dalilnya ialah hadis berikut:

وَإِذَا حَلَفْتَ عَلَى يَمِينٍ فَرَأَيْتَ غَيْرَهَا خَيْرًا مِنْهَا فَكَفِّرْ عَنْ يَمِينِكَ وَأْتِ الَّذِي هُوَ خَيْرٌ.

Apabila kamu bersumpah dengan sesuatu sumpah, lalu kamu melihat sesuatu 
lain yang lebih baik dari apa yang telah kamu sumpah, maka bayarlah kafarat 
dari sumpah kamu (yang awal itu) dan ambillah yang lebih baik itu.[19]

* Bagaimana menangani pendapat yang membolehkan sumpah dengan selain
Allah?


Diketahui terdapat sebahagian pihak yang membolehkan sumpah dengan selain Allah. Mereka berhujah dengan beberapa sumpah Allah Subhanahu wa Ta'ala di dalam al-Qur’an, di mana Allah bersumpah dengan menyandar kepada ciptaan-ciptaan-Nya. Antara ayat al-Qur’an yang dimaksudkan:

وَالسَّمَاءِ وَالطَّارِقِ.

Demi langit dan (bintang) al-Thariq! [al-Thariq 86:01]

وَالْفَجْرِ (1) وَلَيَالٍ عَشْرٍ (2).

Demi waktu fajar dan malam yang sepuluh! [al-Fajr 89:01-02]

وَالشَّمْسِ وَضُحَاهَا.

Demi matahari dan cahayanya di pagi hari! [al-Syams 91:01]

Penghujahan di atas dapat ditolak dengan penjelasan:

1. Sumpah-sumpah seperti di atas mengandungi sandaran sumpah yang 
tersembunyi, iaitu Pencipta bagi ciptaan-ciptaan tersebut, yakni Allah 
Subhanahu wa Ta'ala. Sehingga yang dimaksudkan dalam sumpah-sumpah tersebut 
ialah “Demi Pencipta langit dan bintang al-Thariq”, “Demi Pencipta waktu 
fajar dan malam yang sepuluh” dan “Demi Pencipta matahari dan cahayanya 
di pagi hari”.

2. Sumpahan Allah dengan menyandar kepada ciptaan-ciptaan-Nya memiliki 
tujuan menunjukkan kekuasaan dan keagungan-Nya dalam mencipta perkara-perkara tersebut. Justeru apabila Allah bersumpah “Demi matahari…”, ia bagi 
menunjukkan kepada manusia kekuasaan dan keagungan-Nya dalam mencipta 
matahari.

Berdasarkan dua penjelasan di atas, dapat diketahui bahawa sumpah seumpama 
ayat-ayat al-Qur’an di atas hanya layak bagi Allah, justeru menjadi 
hak-Nya sahaja. Kita sebagai manusia tidak layak meniru tatacara 
sumpah sedemikian.

Selain itu pihak yang membolehkan sumpah dengan selain Allah menggunakan 
hadis berikut sebagai dalil:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّ الصَّدَقَةِ أَعْظَمُ أَجْرًا؟ فَقَالَ: أَمَا وَأَبِيكَ لَتُنَبَّأَنَّهُ أَنْ تَصَدَّقَ وَأَنْتَ صَحِيحٌ شَحِيحٌ تَخْشَى الْفَقْرَ وَتَأْمُلُ الْبَقَاءَ وَلاَ تُمْهِلَ حَتَّى إِذَا بَلَغَتْ الْحُلْقُومَ قُلْتَ لِفُلاَنٍ كَذَا وَلِفُلاَنٍ كَذَا وَقَدْ كَانَ لِفُلاَنٍ.

Daripada Abu Hurairah (radhiallahu 'anh) dia berkata, seorang lelaki datang 
kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dan berkata: “Wahai Rasulullah! 
Apakah sedekah yang paling tinggi anjarannya?”

Rasulullah menjawab: “Demi ayah kamu! Tentu aku akan menjelaskannya. 
Iaitu sedekah ketika kamu sihat tetapi kedekut kerana bimbang kefakiran 
dan berharap agar harta itu kekal bersamamu. Janganlah menunda sedekah 
sehingga ke saat nyawa kamu hampir ditarik, lalu pada saat itu kamu berkata: 
“Untuk si-fulan harta ini, untuk si-fulan harta itu” padahal pada saat itu
harta tersebut memang sudah menjadi hak orang-orang itu.”[20]

Pendalilan dengan hadis di atas dijawab, bahawa perkataan Rasulullah 
shallallahu 'alaihi wasallam “Demi ayah kamu!” bukanlah satu sumpah tetapi 
sekadar ungkapan yang lazim di sisi masyarakat Arab (al-Yamin al-Laghw). 
al-Nawawi rahimahullah menjelaskan:

(Rasulullah) bersumpah dengan ayah (sahabat itu) padahal (baginda) melarang 
bersumpah dengan selain Allah. Maka berkenaan sumpah dengan sandaran ayah 
ini, dijelaskan bahawa sumpah yang dilarang dengan selain Allah adalah apabila 
ia memang dimaksudkan (sebagai sumpah). Adapun lafaz sumpah dalam hadis ini, 
ia merupakan kebiasaan di atas lisan orang-orang Arab tanpa (mereka) 
memaksudkannya (sebagai sumpah). Maka ia tidak termasuk dalam kategori 
sumpah yang dilarang oleh baginda.[21]

* Dalam kes jenayah, bolehkah yang tertuduh bersumpah sebelum diminta
oleh hakim?


Terdapat dua hadis yang menjadi rujukan bagi persoalan ini:

يَمِينُكَ عَلَى مَا يُصَدِّقُكَ عَلَيْهِ صَاحِبُكَ.

Sumpah kamu wajib berada di atas apa yang diminta oleh lawan kamu (yang membuat tuduhan).[22]

الْيَمِينُ عَلَى نِيَّةِ الْمُسْتَحْلِفِ.

Sumpah bergantung kepada niat orang yang meminta sumpah.[23]

Berdasarkan dua hadis di atas, para ilmuan terbahagi kepada dua pendapat:

1. Orang yang tertuduh hendaklah menunggu hingga hakim meminta dia bersumpah bagi membersihkan tuduhan ke atas dirinya.
2. Asalkan ada tuduhan, orang yang tertuduh boleh bersumpah bagi membersihkan dirinya. Dengan syarat ia diminta atau dicadangkan oleh orang yang memiliki kedudukan di sisi masyarakat atau negara, baik orang itu ialah seorang hakim atau selainnya.

Pada analisa saya, yang lebih kuat ialah pendapat yang kedua. Penjelasannya adalah seperti apa yang dikatakan oleh Muhammad bin Ismail al-Shan‘ani rahimahullah:

Kesimpulannya, sumpah itu sesuai dengan niat orang yang bersumpah dalam semua perkara kecuali apabila diminta bersumpah oleh hakim atau wakilnya terhadap sesuatu tuduhan yang dihadapkan ke atasnya. Maka dalam kes ini sumpah hendaklah sesuai dengan maksud orang yang meminta dia bersumpah (yakni hakim atau wakilnya). Inilah maksud hadis di atas.

Adapun apabila dia bersumpah tanpa diminta untuk bersumpah oleh hakim atau wakilnya terhadap sesuatu tuduhan yang dihadapnya, maka sumpah itu sesuai dengan niat orang yang bersumpah.

… Saya (al-Shan‘ani) berkata, tidak diketahui dari mana datangnya pembatasan (terhadap keumuman) hadis di atas kepada hakim atau wakilnya sahaja (dalam persoalan permintaan sumpah). Padahal zahir hadis menunjukkan apabila sumpah itu diminta oleh orang yang memiliki hak (yakni kedudukan dalam masyarakat atau negara), maka niat sumpah itu sesuai dengan niat orang yang memintanya (dan ini berlaku secara) mutlak.[24]

* Apakah maksud sumpah Mubahalah?

Sumpah mubahalah merujuk kepada ayat berikut:

فَمَنْ حَاجَّكَ فِيهِ مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَكَ مِنْ الْعِلْمِ فَقُلْ تَعَالَوْا نَدْعُ أَبْنَاءَنَا وَأَبْنَاءَكُمْ وَنِسَاءَنَا وَنِسَاءَكُمْ وَأَنْفُسَنَا وَأَنْفُسَكُمْ ثُمَّ نَبْتَهِلْ فَنَجْعَلْ لَعْنَةَ اللَّهِ عَلَى الْكَاذِبِينَ.

Kemudian sesiapa yang membantahmu mengenainya sesudah kamu beroleh pengetahuan yang benar, maka katakanlah kepada mereka: “Marilah kita menyeru anak-anak kami serta anak-anak kamu, dan perempuan-perempuan kami serta perempuan-perempuan kamu, dan diri kami serta diri kamu, kemudian kita memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh serta kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang berdusta.” [‘Ali Imran 3:61]

Perkataan Mubahalah (مباهلة) berasal daripada kata bahlah atau buhlah (بهلة) yang bererti doa yang bersungguh-sungguh untuk menjatuhkan kutukan kepada lawan yang membangkang. Imbuhan Mubahalah menunjukkan wujudnya dua pihak yang saling melakukan perkara yang sama, dalam kes ini saling berdoa kepada Tuhan untuk menjatuhkan laknat kepada pihak yang mengingkari kebenaran.[25]

Merujuk kepada ayat di atas, diriwayatkan bahawa pada satu ketika datang delegasi Nasrani dari Najran[26] untuk berdialog dengan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam di Kota Madinah dalam subjek perbandingan agama antara Kristian dan Islam. Setelah disampaikan segala hujah yang benar yang tidak mampu dijawab oleh delegasi Nasrani, mereka tetap enggan mengakui kebenaran Islam, apatah lagi memeluknya. Keengganan delegasi Nasrani ini menyebabkan Allah Subhanahu wa Ta‘ala menurunkan ayat 61 surah ‘Ali Imran di atas.

Berdasarkan ayat ini, apabila terdapat dua pihak yang bertikai dengan saling menuduh sementara masing-masing pihak telah mengemukakan hujah masing-masing, maka alternatif terakhir bagi menyelesaikan pertikaian ialah melakukan sumpah mubahalah. Melalui sumpah mubahalah masing-masing pihak membawa ahli keluarga terdekat masing-masing dan bersumpah seandainya pihak yang menuduh berdusta, laknat Allah akan tertimpa ke atas ahli keluarganya.

Kehadiran ahli keluarga terdekat memiliki pengaruh yang amat mendalam sehingga orang yang berdusta dalam membuat tuduhan akan menarik balik tuduhannya itu. Ini kerana dia tidak mahu kesalahan dirinya sendiri memberi kesan buruk kepada ahli keluarga tersayangnya, yang pada asalnya memang tidak bersalah langsung.

Dengan merujuk kepada hadis-hadis yang mengkhabarkan peristiwa mubahalah yang dilakukan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, dapat dirumuskan beberapa syarat sumpah mubahalah:

1. Ia sebagai alternatif terakhir setelah semua alternatif lain dilaksanakan bagi meleraikan pertikaian.
2. Masing-masing pihak membawa bersama ahli keluarganya yang terdekat.
3. Masing-masing pihak bersama ahli keluarga terdekat hadir secara berhadapan.
4. Masing-masing pihak bersumpah, umpama: “Demi Allah! Aku bersumpah aku tidak bersalah dalam tuduhan ini. Ya Allah! Yang menuduh telah berdusta dalam membuat tuduhan, maka jatuhkanlah laknat-Mu ke atas penuduh dan ahli keluarganya.” Pihak kedua pula bersumpah, umpama: “Demi Allah! Aku tidak berdusta dalam membuat tuduhan ini. Ya Allah! Yang tertuduh telah berdusta dalam menafikan tuduhan, maka jatuhkanlah laknat-Mu ke atas tertuduh dan ahli keluarganya.”

Lazimnya apabila masing-masing pihak hadir bersama ahli keluarga terdekat secara berhadapan, sumpah mubahalah tidak akan berlaku. Pihak yang membuat tuduhan palsu akan menarik diri. Bahkan dia mungkin tidak akan hadir atau tidak akan membawa ahli keluarganya. Ini sebagaimana yang berlaku kepada delegasi Najran itu sendiri. Hadis berikut menjadi rujukan:

عَنْ حُذَيْفَةَ قَالَ: جَاءَ الْعَاقِبُ وَالسَّيِّدُ صَاحِبَا نَجْرَانَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُرِيدَانِ أَنْ يُلاَعِنَاهُ. قَالَ: فَقَالَ أَحَدُهُمَا لِصَاحِبِهِ لاَ تَفْعَلْ فَوَاللَّهِ لَئِنْ كَانَ نَبِيًّا فَلاَعَنَّا لاَ نُفْلِحُ نَحْنُ وَلاَ عَقِبُنَا مِنْ بَعْدِنَا, قَالاَ إِنَّا نُعْطِيكَ مَا سَأَلْتَنَا وَابْعَثْ مَعَنَا رَجُلاً أَمِينًا وَلاَ تَبْعَثْ مَعَنَا إِلاَّ أَمِينًا. فَقَالَ: لأَبْعَثَنَّ مَعَكُمْ رَجُلاً أَمِينًا حَقَّ أَمِينٍ. فَاسْتَشْرَفَ لَهُ أَصْحَابُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ. فَقَالَ: قُمْ يَا أَبَا عُبَيْدَةَ بْنَ الْجَرَّاحِ. فَلَمَّا قَامَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: هَذَا أَمِينُ هَذِهِ الأُمَّةِ.

Daripada Huzaifah (radhiallahu 'anh), dia berkata: al-Aqib dan al-Sayyid, ketua delagasi Najran datang kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam untuk saling melaknat (Mubahalah).

(Huzaifah menyambung): Lalu berkata salah seorang daripada mereka kepada sahabatnya: “Janganlah berbuat demikian kerana Demi Allah, jika benar dia (Muhammad) seorang Nabi lalu kita melaknat dia pasti kita dan generasi sesudah kita tidak akan mencapai kejayaan.”

Lalu akhirnya mereka berdua berkata: “Kami akan memberikan apa yang kamu minta (sebagai perjanjian damai) dan utuskanlah kepada kalangan kami seorang yang amanah, tidak sebarangan orang kecuali yang amanah.” Rasulullah menjawab: “Aku akan mengutus bersama kalian seorang yang amanah, benar-benar amanah.”

Setelah itu maka setiap seorang daripada para sahabat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sangat-sangat berharap agar merekalah yang terpilih sebagai utusan yang amanah tersebut. Lalu Rasulullah bersabda: “Bangunlah wahai Abu ‘Ubaidah bin al-Jarrah.” Tatkala (Abu ‘Ubaidah) berdiri Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Inilah orang amanah umat ini.” [27]


-------------------------------------
[1] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 3444 (Kitab Ahadits al-Anbiya’, Bab firman Allah berkenaan Maryam…).

[2] ‘Abd Allah bin ‘Abd al-Rahman al-Bassam – Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram (Maktabah al-Asri, Mekah, 2003), jld. 7, ms. 105.

[3] Abu Malik Kamal bin al-Sayyid Salim – Shahih Fiqh al-Sunnah wa Adillatuh wa Taudhih Mazahib al-Aimmah (Maktabah al-Taufiqiyyah, Kaherah), jld. 2, ms. 285.

[4] Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, jild. 7, ms. 105.

[5] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 2679 (Kitab al-Syahadat, Bab bagaimana cara bersumpah).

[6] Shahih Fiqh al-Sunnah, jld. 2, ms. 288.

[7] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 7383.

[8] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 6628.

[9] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 153.

[10] Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albbani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no: 3251.

[11] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 1647.

[12] Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, jild. 7, ms. 108.

[13] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 137.

[14] Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no: 3262.

[15] Shahih Fiqh al-Sunnah, jld. 2, ms. 289-290.

[16] Shahih Fiqh al-Sunnah, jld. 2, ms. 314-315.

[17] Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, jild. 7, ms. 117.

[18] Sahih: Dikeluarkan oleh Ibn Majah dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Ibn Majah, hadis no: 1675.

[19] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 6622.

[20] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 1032-2.

[21] al-Minhaj Syarh Shahih Muslim bin al-Hajjaj (Dar al-Ihya’ al-Turats al-‘Arabi, Beirut), jld. 4, ms. 359.

[22] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 1653.

[23] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 1653-2.

[24] Subul al-Salam Syarh Bulugh al-Maram (Dar al-Arqam, Beirut), jld. 2,
ms. 423.

[25] Quraish Shihab – Tafsir al-Mishbah (Lentera Hati, Djuanda), jld. 2, 
ms. 105.

[26] Najran terletak di Yaman, kira-kira 240km di utara bandar San’a. 
[Syed Anwar Ali – Qur’an: The Fundamental Law of Human Life (Hamdard 
Foundation, Karachi 1987), jld. 4, ms. 172].

[27] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 4380.

0 comments:

©2009 .:: Makalah Ilmu ::.. Hakcipta Ada Yang Terpelihara.
Diterbitkan Oleh : Amirul Amin. | Pengurusan Oleh : Malaysia Terjah. | Pautan Luaran Oleh : Afiqah Network Link.
PENAFIAN : Ini adalah laman Web ATAU Blog sokongan untuk tujuan PROMOSI ATAU SUMBANGAN sahaja.
Tiada kaitan dengan : Laman Web ATAU Blog Syarikat ATAU Agensi ATAU Individu ATAU Organisasi yang disertai.
Tiada mana-mana bahagian portal ini boleh diubah, disalin, diedar, dihantar semula, disiarkan, dipamerkan, diterbitkan, dilesenkan, dipindah, dijual atau diuruskan
bagi tujuan komersil dalam apa bentuk sekalipun tanpa mendapat kebenaran secara bertulis yang jelas terlebih dahulu daripada
Malaysia Terjah.