Followers

DIALOG - PENEBUSAN DOSA?

Tuesday, February 1, 2011

 PENYALIBAN DAN KEBANGKITAN


Adakah Nabi Isa disalib ?

Orang-orang Kristian menyakini, bahawa Adam adalah penyebab kepada wujudnya dosa warisan, sebagaimana yang telah saya kupaskan di dalam bab pertama yang lalu. Mereka juga menyakini bahawa Allah yang Maha Pengasih telah mengutuskan anak-Nya yang tunggal ( Nabi Isa ) ke dunia ini, untuk menebus dosa warisan manusia. Di dalam ( Yohanes 3:16 ) menyatakan :


Allah sangat mengasihi orang di dunia ini, sehingga Dia memberikan Anak-Nya yang tunggal, supaya setiap orang yang percaya kepada anak itu tidak akan binasa tetapi memperolehi hidup sejati dan kekal.

Orang-orang Kristian juga percaya bahawa kisah penyembelihan Ishak oleh Nabi Ibrahim adalah gambaran awal dari Allah SWT bahawa Jesus akan disalib untuk menebus dosa warisan manusia.

Ketika berbincang dengan seorang Paderi dan isterinya tentang ‘Benarkah Ishak yang disembelih?, saya berkata kepada beliau: “Uncle, kami sebagai Muslim percaya bahawa Ismail yang telah dikorbankan bukannya Ishak sebagaimana yang dipercayai oleh orang-orang Kristian.

Walaupun Kristian membuktikan hujah mereka melalui Old Testament, sebagaimana yang dinyatakan dalam buku Kejadian bab 22 ayat 2 :

Allah berfirman : “Pergilah ke tanah Moria dengan Ishak, anakmu yang tunggal, yang sangat engkau kasihi. Di situ, di sebuah gunung yang akan Ku tunjukkan kepadamu, persembahkanlah anakmu sebagai korban untuk menyenangkan hati-Ku“.

Namun, Kitab Bible sendiri menolak hujah ini!. Saya meneruskan lagi dengan berkata : “Cubalah kita lihat di dalam Old Testament, buku kejadian bab 16 ayat 15-16, di mana Bible telah menyatakan :

Kemudian Hagar ( Hajar ) melahirkan seorang anak lelaki, lalu Abram ( Ibrahim ) bapa anak itu menamakan dia Ismail. Pada masa itu Abram berumur 86 tahun.

dan bandingkan pula dengan Old Testament, buku Kejadian bab 21 ayat 5 ini”.


Ibrahim berumur 100 tahun ketika Ishak dilahirkan

Dengan menggunakan ‘White Board’ yang ada di dalam gereja tersebut, saya melakarkan ayat–ayat tadi agar beliau dapat memerhatikan dengan lebih jelas tentang ‘keistimewaan’ ayat– ayat ini!

Ismail atau Ishak ?

Saya berkata kepada beliau : “Uncle, perhatikan ayat-ayat ini. Di antara Ismail dan Ishak, siapakah yang lahir dulu?”. Tanpa menunggu jawapan daripada beliau, saya menyatakan bahawa Ismail yang dilahirkan dulu kerana ketika Ismail dilahirkan umur Nabi Ibrahim 86 tahun, sedangkan ketika Ishak dilahirkan umur Baginda sudah menjangkau 100 tahun. Beliau dan isterinya nampak bersetuju dengan apa yang saya nyatakan.

Saya meneruskan lagi dengan berkata: “Tetapi Uncle, jika Ismail yang dilahirkan dulu, mengapa di dalam Old Testament, buku Kejadian 22:2 di atas menyatakan Ishak adalah anak tunggal Ibrahim? Sedangkan Ishak mempunyai abang iaitu Ismail“!

Saya berkata lagi: “Inilah buktinya bahawa kalimah ‘Ishak’  didalam Old Testament, buku kejadian 22:2 tadi adalah kalimah tambahan dari Ulama Yahudi yang sememangnya dengki kepada Ismail dan keturunannya”.

Setelah mendengar hujah yang saya kemukakan tadi, beliau terus menjawab dengan penuh yakin: “Sebenarnya Ishak adalah satu-satunya anak tunggal Ibrahim yang lahir daripada isteri yang sah!. Manakala Ismail pula bukanlah anak Baginda yang sah kerana Hagar (Hajar) adalah gundik Ibrahim!”

Dengan segera saya berkata kepada beliau: “Kalau begitu, tunjukkan pada saya di mana ayat di dalam Bible yang menyatakan Hagar (Hajar) adalah gundik Ibrahim?.”

Beliau yang nampaknya terkejut dengan permintaan saya itu, hanya mendiamkan diri sambil membelek–belek kandungan Bible di hadapan beliau .

Pada mulanya saya menyangka beliau tentu tahu di manakah ayat yang menyebut tentang Hagar adalah gundik Ibrahim kerana sememangnya terdapat di dalam sesetengah versi Bible menyatakan sedemikian.

Namun setelah menunggu agak lama serta yakin beliau tidak dapat membuktikannya, maka saya berkata kepada beliau: “Uncle, ayat yang menyatakan bahawa Hagar (Hajar) adalah gundik Ibrahim terdapat di dalam Old Testament, Kejadian bab 16 ayat 3.”

Ayat tersebut menyatakan :
Maka Sarai ( Sarah ) memberikan Hagar ( Hajar ) kepada Abram ( Ibrahim ) untuk dijadikan gundik.

Setelah saya menunjukkan ayat tersebut, beliau nampaknya agak lega dengan ‘bantuan’ saya tadi.

Tanpa menunggu ‘kelegaan’ beliau itu berpanjangan , saya meneruskan hujah dengan berkata: “Uncle, walaupun ayat ini menyatakan Hagar sebagai gundik Ibrahim, sehinggakan Ismail itu dituduh sebagai anak gundik, namun jika kita buka di dalam Bible King James Version, terjemahan English terhadap ayat ini adalah to be his WIFE (untuk dijadikan sebagai isteri) bukannya to be his concubine (untuk dijadikan sebagai gundik) sebagaimana yang tercatat di dalam versi TEV (Todays English Version) dan lain-lain versi!”

“Mengapa Bible mempunyai pelbagai versi jika ia adalah benar– benar dari Allah. Lagipun, kalimah Isteri (Wife) dan Gundik (Concubine) mempunyai perbezaan dan maksud yang amat ketara. Tentu Allah dapat membezakannya!”

Isteri beliau yang hanya mendiamkan diri sejak awal perbincangan kami cuba menyatakan kepada saya bahawa pada zaman dahulu, istilah isteri dan gundik tidak dapat dibezakan dengan tepat. Atas sebab itulah, terdapat kalimah isteri dan gundik digunakan dalam tempat yang sama dalam sesetengah Bible!

Isteri atau gundik?

Saya tidak faham mengapa isteri beliau menyatakan sedemikian, tapi dengan segera saya berkata padanya:  “Auntie, bukankah menurut kepercayaan Yahudi dan Kristian bahawa Ibrahim telah berkahwin seramai 3 orang iaitu Sarai, Hagar dan Ketura?

Ini telah dinyatakan di dalam Old Testament buku Kejadian bab 25 ayat 1 dan 2:

Abraham berkahwin lagi dengan seorang perempuan yang bernama Ketura. Isterinya itu melahirkan Zimran, Yoksan, Medan, Midian, Ishbak dan Suah.

Di dalam ayat ini, jelas dinyatakan bahawa Ketura adalah Isteri Ibrahim.

Saya meneruskan lagi dengan berkata : “Tapi Auntie, cuba bandingkan dengan apa yang dinyatakan di dalam Old Testament Buku 1 Tawarikh bab 1 ayat 32 ini:
Abraham mempunyai seorang gundik bernama Ketura. Gundiknya itu melahirkan enam orang lelaki: Zimran, Yoksan, Medan Midian, Ishbak dan Suah……

Di dalam ayat ini, dinyatakan pula Ketura anak gundik Ibrahim. Bukankah jelas bahawa kalimah isteri dan gundik mempunyai perbezaan dan penulis serta periwayat Bible tahu perbezaan ini!.

Apa pula yang hendak Auntie katakan tentang ayat 1 Raja-raja bab 11 ayat 3 :
Raja Salomo (Sulaiman) berkahwin dengan Tujuh Ratus orang Puteri Raja dan mempunyai Tiga Ratus orang Gundik.

Di dalam ayat yang sama, periwayat Bible sendiri menunjukkan bahawa mereka tahu perbezaan antara kalimah isteri dan gundik!.

Dengan muka yang merah padam, isterinya bangkit meninggalkan perbincangan kami dan saya lihat Paderi tersebut hanya menundukkan mukanya yang kemerahan.

Lantas saya meneruskan lagi dengan berkata : “Uncle, melalui ayat-ayat yang saya nyatakan tadi, jelaslah bahawa Ismail adalah anak sah dan Hagar bukanlah gundik Ibrahim!

Di sinilah buktinya bahawa terdapat perselisihan di dalam ayat-ayat Bible dan sekaligus membuktikan ia bukan Kalam Allah! Ia dikarang serta dipinda sesuka hati oleh Ulama Yahudi.

Setelah saya berkata demikian, Paderi tersebut hanya mendiamkan diri dan tidak lama kemudian, beliau menyatakan pada saya bahawa beliau ada kerja yang ingin diselesaikan.

Dosa Warisan ciptaan Paulus !

Sebenarnya perintah pergorbanan Ishak (menurut kepercayaan Kristian dan Yahudi) tidak ada kaitannya dengan gambaran awal Jesus akan disalib! Tetapi idea penebusan dosa warisan ini telah diprogramkan oleh Paulus atau Paul, seorang yang dianggap ‘Rasul’ bagi penganut Kristian .

Sekiranya kita lihat di dalam (Galatian 1:4) Paul telah berkata:
Untuk menyelamatkan kita daripada zaman yang jahat ini, Kristus (Jesus) telah menyerahkan diri-Nya sebagai korban bagi dosa-dosa kita. Dia melakukan bagi mentaati kehendak Allah bapa kita.

Di dalam ayat lain pula Paul, telah menyifatkan golongan Yahudi yang enggan menerima ‘berita baik’ penyaliban Jesus ini, sebagai musuh Allah. Ini dapat kita saksikan melalui kata-kata Paul di dalam (Roma 11:28) :
Kerana orang Yahudi tidak mahu menerima berita baik (penyaliban Jesus untuk penghapusan dosa manusia ) daripada Allah ini, maka mereka menjadi musuh Allah .

Tetapi di dalam ayat lain, contohnya di dalam (1 Teselonian 2:15) Paul telah menyatakan sebaliknya pula tentang idea penebusan dosa ini:
Orang Yahudi sudah membunuh Tuhan Jesus dan Nabi–nabi serta menganiayai kami juga. Mereka memusuhi semua orang dan menyebabkan Allah sangat murka.

Sungguh pelik! Paul yang mengajar idea penghapusan dosa warisan ini dalam masa yang sama juga telah mencela orang–orang Yahudi yang ‘membantu’ proses penghapusan dosa ini! Sepatutnya orang–orang Yahudi yang telah membunuh Jesus ini, diberi pahala dan sanjungan yang besar kerana merekalah yang telah membunuh dan menyalib Jesus, sehingga dosa warisan yang membelenggu manusia selama ini, terhapus. Sekiranya Jesus tidak dibunuh dan disalib oleh mereka, tentu dosa warisan masih lagi membelenggu penganut Kristian hingga ke hari ini dan Agama Kristian tidak mungkin wujud sama sekali.

Mari kita lihat pula apa kata Paul di dalam (1 Korintus 2:8):

Semua roh yang berkuasa dan yang memerintah dunia ini, tidak tahu kebijaksanaan itu. Seandainya roh-roh itu mengetahuinya, tentu roh-roh itu tidak akan menyalib Tuhan (Jesus) Yang Mulia.

Lihatlah! Betapa jelasnya percanggahan kata–kata Paul yang dianggap oleh orang–orang Kristian sebagai ‘Rasul Kristus’.

Oleh kerana kata-kata Paul sendiri mengandungi percanggahan, maka saksi yang paling layak untuk kita analisa bagi mencapai kebenaran hakiki tentang idea penyaliban bagi menebus dosa ini, adalah kata–kata Jesus sendiri.

Apa kata Jesus terhadap idea yang telah dicipta oleh Paul ini?


Jesus sendiri tidak rela disalib !

Jika anda perhatikan di dalam (Yohanes 7:19), Jesus sendiri telah berkata kepada orang–orang Yahudi yang ingin membunuh dan menyalibnya:

“Bukankah Musa yang memberi Taurat kepada kamu. Tetapi tidak seorang pun di antara kamu yang mentaati Taurat itu. Mengapa kamu mahu membunuh aku?”

Lihat pula di dalam (Yohanes 8:37) dimana Jesus sendiri telah berkata:

“Aku tahu kamu keturunan Ibrahim. Namun kamu berusaha untuk  membunuh aku, kerana kamu tidak mahu menerima ajaranku”.

Di dalam (Yohanes 8:44):
“Bapa kamu Iblis dan kamu anak–anaknya. Kamu lebih suka menurut kehendak bapa kamu. Sejak permulaan, Iblis itu pembunuh..”

Di dalam ( Yohanes 19:11 ):
Jesus telah berdialog dengan Pilatus ( Gabenor Kerajaan Rom), dan berkata: “Kamu tidak berkuasa ke atas aku, kecuali Allah memberikan kuasa itu kepadamu. Oleh itu, orang yang menyerahkan aku kepadamu, lebih besar dosanya dari dosamu .

Perhatikan! Jesus sendiri menolak idea penebusan dosa ciptaan Paulus ini! Bahkan, untuk membuktikan keengganan Jesus menghadapi hukuman untuk menebus dosa manusia,  Matius dan Markus telah menceritakan bagaimana Jesus telah berusaha melarikan diri dari orang-orang Yahudi dan tentera Rom yang mahu menangkap dan membunuh baginda. Jika ini adalah perintah Allah, mengapa Jesus melarikan diri? Perhatikan ayat ini :
“Bangunlah, mari kita pergi! Lihatlah, orang yang mengkhianati aku sudah datang!”
                                                                                                                                                                (Matius 26:46)

“Bangunlah, marilah kita pergi! Lihatlah, orang yang mengkhianati aku sudah datang!”
                                                                                                                                                                (Markus 14:42)

Bahkan sahabat-sahabat Jesus sendiri melarikan diri ketika Jesus ditangkap! Jadi, siapakah yang menjadi saksi peristiwa penyaliban ini?

Jika benar penyaliban Jesus ini adalah perintah Allah sebagaimana yang di dakwa oleh Paul dalam (Galatian 1:4) tadi, sudah tentu sahabat–sahabat baginda akan membantu menyerahkan baginda kepada orang–orang Yahudi dan tentera Rom.

Perhatikan apa yang telah diriwayatkan dalam (Matius 26:56) :
……kemudian semua pengikut Jesus lari meninggalkan Dia.


Dan di dalam (Markus 14:50) meriwayatkan :
Ketika itu, semua pengikut Jesus lari meninggalkan Dia.

Sungguh menghairankan! Jika benar apa yang dikatakan oleh Paul tentang penyaliban Jesus adalah rancangan Tuhan untuk menebus dosa warisan, maka kita dapat saksikan bahawa Jesus dan sahabat–sahabat baginda sendiri ‘lari’ dari perintah Tuhan!

Kisah penyaliban yang berbagai versi!

Kisah penyaliban Jesus telah dirakamkan oleh 4 Gospel yang utama di dalam New Testament iaitu Matius, Markus, Lukas dan Yohanes. Namun tahukah anda, kisah penyaliban ini berbeza dan berbagai versi keadaannya?

Rela disalib

Orang-orang Kristian telah menggunakan ayat (Lukas 23:46) ini sebagai tanda Jesus telah rela disalib untuk menebus dosa warisan manusia. Perhatikan ayat ini :
Lalu Jesus berseru dengan suara lantang “Ya bapa aku serahkan diriku ke dalam tanganMu”.  Setelah berkata demikian dia pun meninggal.

Perhatikan pula di dalam ( Yohanes 19:28-30 ):
Jesus tahu bahawa sekarang semuanya selesai dan supaya apa yang tertulis di dalam Al-kitab berlaku, dia berkata “Aku dahaga. Di situ ada sebuah mangkuk yang penuh dengan wain murah. Bunga karang dicelupkan ke dalam wain murah itu kemudian dicucukkan ke sebatang kayu dan dihulurkan ke mulut Jesus. Jesus mengecapnya lalu berkata: “Telah selesai.” Setelah itu dia menundukkan kepalanya dan meninggal.

Melalui dua ayat ini, orang-orang Kristian berkata dengan megahnya, “Inilah tanda kasih sayang Jesus. Dia sanggup mati demi dosa kita!”

Apakah ‘Kasih sayang’ itu?

Kepada orang-orang Kristian, saya bertanya: “Apakah maksud kasih sayang di dalam agama anda? Adakah semata-mata untuk menebus dosa warisan dari Adam ( yang hanya memakan sebiji buah larangan ) lalu Tuhan Maha Pengasih terpaksa membunuh anak-nya yang tunggal, kamu katakan sebagai ‘kasih sayang’?”

Bahkan ‘Putus asa’!

Sebenarnya, apa yang telah dinyatakan di dalam (Lukas 23:46 dan Yohanes 19:28-30) ini adalah menunjukkan putus asa Jesus! Mengapa tidak? Jesus telah berusaha melarikan diri dari tangkapan tentera Rom dan orang-orang Yahudi selama hidupnya, tiba-tiba Bapa di Syurga tidak membantu beliau melepaskan diri! Maka dengan putus asa beliau mengucapkan : Ya bapa, aku serahkan diriku ke dalam tangan-Mu.

Bahkan Jika kita perhatikan kalimah ‘Ya bapa, aku serahkan diriku ke dalam tanganMu’ ini juga, dapat kita perhatikan ada 2 ‘Tuhan’ bukannya Satu seperti yang didakwa oleh orang-orang Kristian. Pertama, ‘Anak Tuhan’ yang mati di tiang salib dan yang kedua, ‘Tuhan Bapa’ yang tidak mati bersama anak-Nya. Dan ‘Tuhan-Tuhan’  ini bercerai tidak bersatu sehinggakan ada Tuhan yang mati dan ada yang tidak mati!

Tidak rela disalib

Kali ini kita perhatikan pula bagaimanakah dua ayat ini menjelaskan keengganan Jesus untuk disalib. Perhatikan (Matius 27:45-50):
Pada tengah hari selama tiga jam, Seluruh negeri itu menjadi gelap. Pada pukul tiga petang, Jesus berseru dengan suara lantang “Eli Eli lama sabakhtani?” yang bermaksud “Allah Allah mengapa Engkau tinggalkan aku?”. Beberapa orang di situ mendengar seruan Jesus lalu berkata “dia memanggil Elia”. Seorang dari mereka mengambil bunga karang, lalu mencelupkannya ke dalam wain murah. Kemudian bunga karang itu dicucukkan pada sebatang kayu, lalu dihulurkan ke mulut Jesus. Tetapi orang lain di situ berkata: Tunggu, mari kita lihat kalau-kalau Elia datang menyelamatkan dia.” Kemudian Jesus berseru lagi dengan nyaring lalu menghembuskan nafas terakhirnya.


Keengganan Jesus untuk disalib juga digambarkan oleh (Markus 15:33-37)
Pada tengah hari selama tiga jam, Seluruh negeri itu menjadi gelap. Pada pukul tiga petang, Jesus berseru dengan suara lantang “Eloi Eloi lama sabakhtani?” yang bermaksud “Ya Allah Ya Allah mengapa Engkau tinggalkan aku?”. Beberapa orang di situ mendengar seruan itu lalu berkata “Dia memanggil Elia”. Seorang dari mereka mengambil bunga karang, yang dicelup dengan wain murah lalu mencucukkannya pada sebatang kayu, lalu dihulurkan ke mulut Jesus sambil berkata “Tunggu! mari kita lihat kalau-kalau Elia menurunkan dia dari salib.” Lalu Jesus berteriak dan menghembuskan hafasnya yang terakhir.

Bahkan bukan Jesus di tiang salib!

Kalimah “Eloi Eloi lama sabakhtani? yang bermaksud “Ya Allah  mengapa Engkau tinggalkan aku?” di dalam ayat-ayat di atas juga, jelas menunjukkan bahawa bukan Jesus yang disalib.

Saya pernah memberitahu kepada seorang Pastor berbangsa India di negeri saya ketika kami berbincang mengenai siapakah yang disalib sebenarnya. Saya berkata “Uncle, sekiranya Jesus yang disalib, tentu dia tidak akan menggunakan lafaz ‘Allah, Allah’ tetapi ‘Bapa,bapa’. Ini adalah kerana, Jesus adalah ‘anak Tuhan’!

Amat menghairankan!  Matius dan Markus telah meriwayatkan berita penyaliban ini dengan perbezaan yang amat ketara berbanding dengan versi yang dibawa oleh Lukas dan Yohanes. Namun begitu, terdapat persamaan di antara keempat-empat Gospel ini. Tahukah anda apakah persamaan itu? Ia adalah tentang Kematian ‘Tuhan’!

Adakah anda percaya Tuhan telah mati ?

Saya pernah bertanya kepada seorang Kristian dari Jamaica, yang secara kebetulan saya temui ketika menunggu KLIA Ekpress . Pada mulanya saya menyangka beliau seorang Arab Muslim (memandangkan rupanya seperti Arab) tetapi setelah beliau memperkenalkan dirinya sebagai Roger dan menyatakan beliau seorang Kristian Protestant, saya segera mengambil peluang keemasan tersebut untuk bertanya tentang kematian ‘Tuhan’!

Di dalam kesempatan itu saya bertanya : “Uncle, do you believe God (Jesus) died for three days and three night?” (Adakah tuan percaya bahawa Tuhan (Nabi Isa) telah mati tiga hari tiga malam?) Beliau tersenyum sambil berkata : “This is a very interesting question”.

Saya menunggu agar beliau meneruskan jawapannya tetapi apabila saya melihat beliau seperti ingin lari dari menjawab soalan tersebut, saya ulangi semula soalan itu untuk kali kedua. Dengan serba salah beliau menjawab: “I do not believe God (Jesus) died.” (Saya tidak percaya tuhan (Nabi Isa) telah mati).

Apabila saya ingin melanjutkan perbualan kami ke topik yang lebih menarik berkaitan Kristian, beliau dengan segera menjawab: “Im very tired now and I have to sleep”. ( saya amat letih sekarang dan perlu berehat.).

Bible mengatakan Jesus tidak pernah mati!

Walaupun kita telah membuktikan kepada orang-orang Kristian bahawa Jesus sendiri ‘tidak merestui’ upacara penebusan dosa bahkan bukan Jesus yang disalib oleh tentera Rom, namun orang- orang Kristian masih lagi mempertahankan hujah mereka dengan berkata: “Baiklah! Kami akan membuktikan pada kamu melalui kata-kata Jesus sendiri tentang kematian dan kebangkitannya!”.


Dalam ( Matius 17:22-23 ):
…Jesus berkata kepada mereka, “Tidak lama lagi Anak Manusia akan diserahkan ke dalam kekuasaan manusia. Dia akan dibunuh, tetapi pada hari ketiga, Dia akan dibangkitkan semula”.

Dalam ( Lukas 24:46):
Jesus berkata kepada mereka, “Sudah tertulis bahawa Penyelamat yang diutus oleh Allah mesti mengalami penderitaan dan mesti bangkit daripada kematian pada hari ketiga”.

“Lihatlah ayat–ayat ini! Pasti tiada seorang pun Muslim yang mampu menyangkal tentang kematian dan kebangkitan Jesus!”

Saudara, perhatikan! Sekiranya kita tidak mempersiapkan diri dengan ilmu, sudah tentu ayat-ayat di atas memutuskan hujah kita sebagai Muslim yang beryakinan bahawa Jesus ataupun Nabi Isa A.S tidak pernah mati! Mereka mengutarakan hujah yang diambil dari Holy Bible dan ayat-ayat tersebut memang terdapat di dalam Bible mereka.




Jesus menjawab ‘bagi pihak’ Muslim

Oleh kerana orang-orang Kristian tidak menerima Al-Quran sebagai ‘Last Testament’, maka sudah tentu hujah yang terpaksa kita pakai untuk membuktikan keyakinan Muslim tadi adalah melalui Holy Bible mereka.

Katakan kepada mereka: “Wahai saudaraku, perhatikan apa yang telah dikatakan oleh Petrus atau Peter dan bandingkan dengan apa yang telah Jesus katakan tentang  ‘kematian dan kebangkitannya’!

Petrus atau Peter menyatakan di dalam ( Petrus 3:18) bahawa, kebangkitan setelah kematian itu hanya berlaku dalam bentuk ruh atau ‘spirit’ sahaja. Perhatikan :
Dia (Jesus) dibunuh dalam keadaan jasmani, tetapi dihidupkan semula dalam keadaan rohani.

Sedangkan di dalam ( Lukas 24:39-40 ) Jesus pula menyatakan :
Lihatlah tangan-ku dan kaki-ku ini. Inilah aku! Peganglah aku, maka kamu akan tahu bahawa aku bukan hantu (ruh) kerana hantu (ruh) tidak mempunyai daging dan tulang, sedangkan aku masih mempunyainya.” Jesus berkata demikian sambil menunjukkan tangan dan kaki-Nya kepada mereka.

Perhatikan! Jesus menafikan apa yang telah dinyatakan oleh Petrus dengan bahasa dan kalimah yang amat jelas!

Bahkan, untuk menyakinkan bahawa Dia belum mati sebagaimana yang diyakini oleh murid-muridnya ketika itu dan orang-orang Kristian pada hari ini, Jesus juga telah meminta makanan dari mereka dan memakannya . Perhatikan ayat ( Lukas bab 24 ayat 41-43):
Mereka masih tidak dapat percaya kerana terlalu gembira dan hairan. Jesus bertanya kepada mereka, “ Adakah kamu mempunyai makanan di sini?” Mereka pun memberi sepotong ikan yang sudah dimasak kepada-Nya. Lalu Jesus memgambil ikan itu lalu makan di hadapan mereka.

Sungguh jelas! Jesus menegaskan bahawa Dia tidak pernah mati kerana Dia masih mempunyai daging serta tulang. Sedangkan ruh tidak mempunyainya! Dan demi meyakinkan mereka yang menyaksikan itu , Dia telah memakan makanan yang diberikan.

Sungguh aneh! Petrus atau Peter memberitahu umat Kristian bahawa Jesus telah dibunuh dan bangkit dalam bentuk ruh atau ‘spirit’. Sedangkan Jesus menjawab: ‘Wahai Peter dan umat Kristian, Aku tidak pernah mati! Lihatlah aku masih hidup dan lengkap dengan ruh serta jasad!”

Siapakah yang anda pilih  Jesus atau Petrus

Apa jawapan Allah SWT terhadap mereka ?
Jika kita perhatikan kepada riwayat yang telah disifatkan oleh empat Gospel tadi, ( Matius, Markus, Lukas dan Yohanes ) seolah-olah Jesus sendiri ada kalanya rela, ada kalanya tidak rela dan ada kalanya putus asa. Sedangkan di dalam Islam, para Nabi dan Rasul itu bersifat dengan benar dan tidak pula pernah berdusta. Inilah di antara bukti bahawa terdapat percanggahan yang amat ketara di dalam kitab Bible serta juga Taurat orang-orang Yahudi . Amat benarlah firman Allah di dalam Al-Quran :


Maka kecelakaan yang besarlah bagi orang–orang yang menulis (merubah) Alkitab dengan tangan mereka sendiri kemudian mereka mengatakan: “Inilah dari Allah” (dengan maksud) ingin memprolehi keuntungan yang sedikit dari perbuatan itu. Maka kecelakaan besarlah bagi mereka, akibat dari apa yang telah ditulis oleh mereka dan kecelakaan besarlah bagi mereka, di atas apa yang telah mereka kerjakan”.
(Surah Al-Baqarah 2:79)

Di dalam menjawab fitnah yang telah ditimbulkan oleh orang-orang Yahudi dan Kristian melalui kitab Taurat dan Bible mereka, maka Allah SWT juga telah menyatakan secara jelas di dalam Al-Quran :


“Dan kerana ucapan mereka ‘Sesungguhnya kami telah membunuh Al Masih Isa anak Maryam pesuruh Allah. Dan sebenarnya, mereka tidak membunuhnya dan tidak pula menyalibnya, tetapi ( yang mereka bunuh itu ialah ) orang yang diserupakan dengan Isa bagi mereka. Sesungguhnya orang-orang yang berselisih faham tentang (pembunuhan) Isa benar–benar di dalam keraguan tentang yang dibunuh itu. Mereka tidak mempunyai keyakinan tentang siapakah yang sebenarnya dibunuh itu, kecuali mereka hanya menurut sangkaan mereka sahaja. Mereka tidak pula yakin bahwa yang mereka bunuh itu, adalah Isa. Tetapi  (sebenarnya) Allah telah mengangkat Isa kepadaNYa. Dan adalah Allah itu, Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”.

 ( Surah An-Nisa :4:157-158 )

0 comments:

©2009 .:: Makalah Ilmu ::.. Hakcipta Ada Yang Terpelihara.
Diterbitkan Oleh : Amirul Amin. | Pengurusan Oleh : Malaysia Terjah. | Pautan Luaran Oleh : Afiqah Network Link.
PENAFIAN : Ini adalah laman Web ATAU Blog sokongan untuk tujuan PROMOSI ATAU SUMBANGAN sahaja.
Tiada kaitan dengan : Laman Web ATAU Blog Syarikat ATAU Agensi ATAU Individu ATAU Organisasi yang disertai.
Tiada mana-mana bahagian portal ini boleh diubah, disalin, diedar, dihantar semula, disiarkan, dipamerkan, diterbitkan, dilesenkan, dipindah, dijual atau diuruskan
bagi tujuan komersil dalam apa bentuk sekalipun tanpa mendapat kebenaran secara bertulis yang jelas terlebih dahulu daripada
Malaysia Terjah.