Followers

Mengapa kajian Muhammad Isa Dawud dianggap sesat?

Wednesday, April 20, 2011

bookstore_genre
Buku-buku karangan Muhammad Isa Dawud adalah antara yang terlaris di pasaran berbanding novel-novel cinta, internet bisnes atau genre-genre motivasi. Tetapi jika ia laris, mengapa pula kebanyakan orang khususnya golongan berpendidikan agama menganggap ia sesat.
Jawapannya mudah, buku Muhammad Isa Dawud tidak di letak pada tempat yang betul oleh pengusaha kedai buku. Itu adalah faktor utama yang amat ketara. Namun, masih ada faktor-faktor lain yang mempengaruhi tanggapan negatif tersebut.

Buku karangan Muhammad Isa Dawud tidak sesat dan langsung tidak menyalahi aqidah umat Islam tetapi karna sebilangan kecil manusia yang membaca dengan emosi tanpa usul ilmu yang mampan telah mendorong penulis konspirasi ini menerima tohmahan dikalangan umat Islam sendiri.
Faktor 1 : Pengusaha kedai tidak tahu kategori sebenar buku MID
Semua tulisan Muhammad Isa Dawud bukanlah kategori buku agama, tetapi ia suatu kategori baru yang tidak diwujudkan (atau tidak diketahui) oleh pengusaha kedai. Semua buku beliau adalah jenis kategori “Konspirasi Antarabangsa” atau “Konspirasi” sahaja.
Buku beliau tidak boleh diletakkan pada bahagian rak agama kerana ia bukan menumpukkan kepada persoalan aqidah, ibadat dan perkara-perkara yang berkaitan. Buku beliau penuh dengan teori-teori dan fakta-fakta sejarah, politik, ekonomi yang cuba digabung jalin bersama fakta Al-Quran, hadith, riwayat sahabat dan pandangan ulama.
Walaupun terdapat ayat-ayat al-Quran dan hadith di dalamnya, penonjolan perbahasan tersebut tidak boleh dianggap sebagai perbahasan “bercorak agama”. Kita harus bijak membezakan perbahasan “bercorak agama” dan perbahasan yang “dikaitkan dengan agama”.
Perbahasan di dalam buku MID adalah jenis yang “dikaitkan dengan agama”bukannya “bercorak agama”. Perbahasan bercorak agama adalah penulisan yang menghuraikan bab-bab hukum, fardhu ain, muamalat dan segala macam syariat di dalam Islam.
Perbahasan Muhammad Isa Dawud adalah sebaliknya serta berbentuk kajian impresif dan logik. Kita hanya boleh menolak sekiranya kajian logiknya menghampiri persoalan mempertikaikan aqidah (pegangan). Sehingga sekarang tiada satu pun tulisannya mempertikaikan bab aqidah. Jika ada, sudah pasti bukunya telah diharamkan di Mesir.
Apabila MID meletakkan cerita-cerita yang berbentuk lagenda, mitos Greek dan pelbagai lagi manuskrip-manuskrip kuno di dalam bukunya, pembaca yang kurang faham akan terus melabel buku tersebut sebagai ‘melampau’ atau ‘sesat’ atau ‘haram’. Kami percaya si pembaca yang melabel secara membuta-tuli sedemikian tidak membaca secara kritis dan kemungkinan hanya melangkau-langkau muka surat.
Namun begitu, sekali lagi ingin ditegaskan kategori yang sesuai untuk bukuMuhammad Isa Dawud ialah Konspirasi.
Faktor 2 : Kebanyakan pengusaha tidak membaca buku
Semua pengusaha atau pekerja yang bekerja di kedai buku dijamin tidak membaca semua buku yang ada. Mereka hanya dilatih untuk memahami cara menyusun mengikut nama penerbit berdasarkan rak-rak yang sedia ada. Mana mungkin mereka hendak membaca keseluruhan isi semua buku. Itu adalah kerja bakal pembeli untuk menilai kateogri buku tersebut. Jika pembeli meletakkan penilaian negatif sebelum membaca, buku itu akan dianggap negatif faktanya dan begitulah sebaliknya.
Faktor 3 : Menyusun buku mengikut majoriti genre penerbit
Kami mendapati pihak pengusaha kedai buku kebanyakan menyusun buku-buku mengikut penerbit buku tersebut. Sekiranya penerbit buku itu mengeluarkan 90 peratus buku agama, maka kemungkinan buku-buku yang lainnya akan dianggap sebagai buku agama tambahan pula pengarangnya adalah berbangsa Arab.
Walaupun buku-buku terbitan Pustaka Syuhada banyak berkaitan agama tetapi 5 peratus buku terbitannya adalah berkaitan masalah politik antarabangsa dan konspirasi. Buku di dalam lingkungan 5 peratus itu pula ditulis oleh pengarang berbangsa Arab. Mungkin disebabkan tidak menitik beratkan genre buku, maka pekedai buku menghimpun sekali gus semua buku terbitan Pustaka Syuhada untuk tujuan memudahkan pemeriksaan stok.
Kesannya, adalah kepada pembaca dan pencari buku. Pembaca tidak tahu semua susunan di kedai buku adalah untuk memudahkan pekedai buku membuat pemeriksaan stok dan audit. Tetapi bagi pembaca pula, semua susunan pekedai buku adalah ‘diyakini’ tepat lagi dipercayai.
rakbuku2
Faktor 4 : Menyusun buku kerana pengarangnya Arab dan mempunyai ayat Al-Quran
Kesilapan teknikal yang berlaku di peringkat penerbitan, pengkategorian dan penyusunan pada sesuatu buku secara tidak langsung memberi impak pemikiran kepada golongan pembeli. Bagi yang tidak meneliti dan cepat melatah maka satu tanggapan negatif akan muncul kepada penulis buku tersebut.
Inilah yang berlaku kepada buku Muhammad Isa Dawud. Kesemua bukunya, diletakkan di bahagian rak kategori agama, maka pembeli akan mengandaikan ini buku berkaitan ilmu agama. Pembeli buku sendiri sebenarnya ada pelbagai kategori;
  • Pelajar sekolah
  • Pelajar universiti pelbagai jurusan
  • Guru atau pensyarah pelbagai jurusan
  • Orang awam biasa
Bagi pembeli yang berlatar belakang agama contohnya, guru agama. Mind-set mereka sudah menetapkan bahawa buku di rak agama adalah buku agama. Sedangkan, pengusaha buku pula menyusun buku mengikut tajuk, kemudian tajuk itu dibuat pertimbangan sendiri tanpa bertanya kepada penerbit.
Apabila pembeli melihat di rak-rak buku agama ada buku-buku yang membuat teori sendiri tentang akhir zaman, maka penulis buku akan dipersalahkan tetapi tidak pula pengusaha kedai buku. Sedangkan pengusaha kedai buku yang silap meletak buku.
Sesetengah pekerja kedai buku pula mengkateogrikan buku setelah membelek-belek secara sepintas lalu setiap helaian buku tersebut. Jika didapatinya ada ayat-ayat Al-Quran maka secara automatisnya buku itu dianggap buku agama. Tambahan pula jika pengarangnya berbangsa arab.
Pengarang Arab walaupun tidak berlatarbelakangkan pendidikan Islam formal, mereka gemar memasukkan ayat-ayat Al-Quran, hadith atau pandangan ulama di dalam tulisan mereka tidak kira dalam apa bidang sekali pun. Ini kebiasaan bagi mereka kerana bahasa Arab adalah bahasa mereka. Ayat-ayat Al-Quran sememangnya sudah dihafal dari kanak-kanak lagi dan tidak semestinya tukang sapu sampah di sana tidak boleh berhujah menggunakan ayat-ayat Al-Quran.
Orang Arab bila bercakap sememangnya suka menyebut-nyebut nama Allah seperti Alhamdulillah, masyaAllah, na’uzubillah dan sebagainya walaupun ada yang berperangai lebih teruk dari Botak Chin. Ini adalah budaya percakapan orang Arab yang perlu difahami.
Masyarakat tidak tahu bahawa di Universiti Kaherah, Mesir terdapat ramai pensyarah-pensyarah Arab Kristian yang mampu menghafal Al-Quran. Nama mereka sama dengan kebanyakan orang Islam, mereka juga menyebut Allah untuk panggilan tuhan mereka.
Mentaliti kebanyakan pengusaha kedai buku pula apabila terpandang nama Arab yang berjela-jela panjang akan terus menganggap buku itu buku kategori agama.
Semua buku keluaran Pustaka Syuhada adalah berkaitan Islam, tetapi tidak semua boleh dianggap kitab. Ada antaranya berbentuk perbincangan isu semasa.
Faktor 5 : Pengaruh Perkataan “Syeikh” dan Nama
Nama Muhammad Isa Dawud tidak mempunyai pangkal gelaran “Syeikh” di hadapannya. Oleh itu, ia sedikit sebanyak menyumbang kepada sikap berani orang-orang yang anti-konspirasi mempertikaikan semua penulisan dan kajian beliau.
Bukan itu sahaja, pangkal perkataan Muhammad, Isa dan Dawud juga adalah nama yang sinonim dengan orang Melayu. Ramai orang Melayu Islam yang mempunyai nama sedemikian. Masyarakat kita banyak mempunyai nama yang sedemikian.
Orang Melayu amat menghormati nama-nama bersifat Timur Tengah. Jika kitab tersebut dikarang oleh ulama’ Malaysia (khususnya yang kurang terkenal) mungkin penilaian positif adalah kurang tetapi jika diletakkan nama Syeikh itu Syeikh ini maka jualan akan meningkat. Ini adalah hakikat perniagaan.
Cuba kita bayangkan seketika nama Muhammad Isa Dawud diubahsuai seperti berikut;
“Syeikh Muhammad Isa Dawud” atau “Syeikh Muhamed Isa ad-Dawud al-Fayyum”
Kami yakin dengan hanya penambahan perkataan Syeikh sahaja pembaca akan mempercayai segala apa yang ditulis sebelum buku itu dibaca.
Nama memang memberi pengaruh besar kepada pembaca, sebab itulah apabila ada penulis-penulis baru ingin menceburi dunia penulisan maka kebanyakan penerbit akan cuba mencadangkan nama pena yang sesuai dengan genre penulisannya. Nama boleh mempengaruhi pembeli, dan penerbit tidak mahu menanggung kerugian kos penerbitan hanya disebabkan nama pena yang tidak sesuai.
rakbuku3
Namun begitu, Muhammad Isa Dawud bernasib baik kerana penerbit Pustaka Syuhada meletakkan penerangan tentang tajuk asal buku nama penterjemah buku asal. Penerangan yang berada pada muka surat hadapan sedikit sebanyak menyelamatkan pasaran jualan buku Pustaka Syuhada.
Faktor 6 : Pengaruh kulit buku terhadap minda pengkritik
Kami secara ikhlas mengatakan kulit buku yang direka oleh penerbit Pustaka Syuhada terhadap buku Muhammad Isa Dawud langsung tidak sesuai dan tidak mencerminkan ketinggian nilai fakta yang terhimpun di dalamnya. Walaupun ia laku, tetapi ia laris kerana tajuknya bukan kerana kulitnya. Dalam amalan bisnes buku, tajuk buku Muhammad Isa Dawud telah menyelamatkan jualannya.
Kulit buku tulisan Muhammad Nurani Maarif adalah sesuai dan dikira selamat kerana tidak diletakkan gambar-gambar wajah hantu di hadapannya. Ini membuatkan bukunya cepat laris dan kemungkinan sudah sekarang akan masuk cetakan kedua.
Faktor 7 : Pembaca tidak membaca secara kritis
Maksud tidak membaca secara kritis ini ialah membaca secara langkau muka surat. Kami yakin tidak ramai pembaca yang mahu membaca tulisan Muhammad Isa Dawud satu persatu. Tulisan beliau memang meleret-leret sehingga pada satu ketika kita terlupa di mana tajuk yang kita berada.
Orang Arab memang gemar menulis begitu tambahan golongan berpendidikan tinggi. Lihat sahaja buku-buku politik mereka, pelbagai cerita dimasudkan hanya untuk menjadi dalil kepada sesuatu fakta yang tidak pun sampai 20 perkataan. Kadang kala dalil-dalil untuk melebihi 10 muka surat.
Pembaca yang bosan akan mudah melangkau muka surat. Apabila habit sebegini kerap dilakukan maka akan berlaku ketinggalan sebahagian fakta kukuh yang menghujahkan sesuatu teori. Akibatknya, pembaca akan bertanggapan kajian Muhammad Isa Dawud tidak logik, menyeleweng dan paling menyedihkan adalah tidak berdasarkan ayat-ayat Al-Quran dan hadith. Sedangkan dengan jelas setiap teori yang dikemukakan Muhammad Isa Dawud adalah berdasarkan hadith sahih dan ayat Al-Quran.
Perkara ini juga berlaku kepada artikel-artikel kami yang terdahulu. Antara artikel yang menerima kritikan ialah “Konspirasi Selsema Babi terbongkar”. Pada suatu ruangan forum kami dapati pembaca mengkritik artikel tersebut tidak berasaskan fakta. Sedangkan dengan jelas lagi terang bahawa di dalam artikel itu terdapat tarikh-tarikh akhbar, nama individu dan organisasi yang terlibat.
Kami simpulkan bahawa pengkritik-pengkritik tersebut tidak membaca keseluruhan artikel, kemungkinan hanya membaca tajuk.
Cadangan
Buku-buku konspirasi perlu di letak di bahagian hujung rak buku-buku agama dan diletakkan tajuk ‘Konspirasi”. Atau persatuan penerbit-penerbit buku perlu mewujudkan satu genre baru untuk buku-buku ini kerana perbincangan buku konspirasi sangat luas dan meliputi seluruh bidang ilmu.
Buku kategori agama harus dipecahkan kepada 3 kategori lagi, kitab, politik Islam, ekonomi Islam, isu semasa dan novel Islami. Walaupun tidak mungkin para pekedai buku berbuat demikian tetapi itulah hakikatnya yang perlu diterima oleh masyarakat dan penulis buku konspirasi.
P/S : Artikel ini dibina untuk peminat-peminat tulisan Muhammad Isa Dawud berhujah dengan golongan pembaca yang menganggap buku karangan MID adalah sesat. Jika ada yang mahu berhujah dengan anda, cetaklah artikel ini untuk diperdebatkan. InsyaAllah, diharap artikel ini sedikit sebanyak dapat membantu menjernihkan keadaan tegang di dalam mempersoalkan pemikiran orang lain. Ingatlah, berhujah bukanlah untuk menjatuhkan maruah seseorang, berhujah bermakna menegakkan kebenaran dan menolak fitnah.

1 comments:

mrakz May 29, 2013 at 2:36 AM  

Mana nak cari buku nie

©2009 .:: Makalah Ilmu ::.. Hakcipta Ada Yang Terpelihara.
Diterbitkan Oleh : Amirul Amin. | Pengurusan Oleh : Malaysia Terjah. | Pautan Luaran Oleh : Afiqah Network Link.
PENAFIAN : Ini adalah laman Web ATAU Blog sokongan untuk tujuan PROMOSI ATAU SUMBANGAN sahaja.
Tiada kaitan dengan : Laman Web ATAU Blog Syarikat ATAU Agensi ATAU Individu ATAU Organisasi yang disertai.
Tiada mana-mana bahagian portal ini boleh diubah, disalin, diedar, dihantar semula, disiarkan, dipamerkan, diterbitkan, dilesenkan, dipindah, dijual atau diuruskan
bagi tujuan komersil dalam apa bentuk sekalipun tanpa mendapat kebenaran secara bertulis yang jelas terlebih dahulu daripada
Malaysia Terjah.