Followers

Fahaman Al-Tabdi’ ancam Ahli Sunah Wal Jamaah

Monday, May 16, 2011



Oleh Zamihan Mat Zin al-Ghari

TERDAPAT banyak fahaman yang boleh mengganggu gugat proses kelancaran pembangunan yang dicetuskan oleh fahaman Ahli Sunah Wal Jamaah itu sendiri. Antaranya ialah fahaman al-Tabdi’.

Fahaman al-Tabdi’ ialah fahaman yang menganggap pihak yang berselisih pendapat dengan mereka sebagai pembuat bidaah. Ini kerana amalan tersebut didakwa tidak dilakukan Nabi s.a.w. dan para sahabat. Lazimnya, isu-isu yang difokuskan melibatkan permasalahan fikah yang bersifat ranting.
Contohnya seperti melafazkan niat solat, wirid, berdoa beramai-ramai, melakukan qunut, menyapu muka selepas solat, bertahlil, membaca Yasin/al-kahfi malam Jumaat, solat Hajat, bertalkin dan lain-lain.
Dalam bab akidah, golongan ini cenderung kepada fahaman mempromosikan ayat mutasyabih secara meluas. Lebih-lebih lagi terhadap nas-nas yang berhubung dengan sifat Allah. Lalu muncullah pendapat yang mengaitkan Allah dengan makhluk atau jisim. Seperti kata-kata : Allah bertangan, berjari, berkaki, bermata, mempunyai rusuk, turun, berpindah, bersila di atas Arasy dan lain-lain.
Apa yang nyata, fahaman seperti ini bertentangan dengan ayat 4 surah al-Ikhlas dan ayat 11 surah al-Syura yang menyifatkan Allah tidak menyerupai segala sesuatu pun. Sekiranya ia disebarkan ternyata menjadi fitnah dalam masyarakat. Dan ini yang berlaku. Lantaran itu, semua institusi agama harus peka dengan permasalahan ini.
Asal-usul
Fahaman ini dikatakan berasal dari fahaman al-Salafiyyin. Iaitu golongan yang bersikap fanatik terhadap fahaman Muhammad Abd. Wahab dan pengikut-pengikutnya. Sebenarnya golongan ini telah lama wujud di negara kita semenjak 1900 tahun dahulu.
Ia dikenali dengan fahaman Kaum Muda di bawah pimpinan Syeikh Tahir Jalaluddin al-Falaki. Golongan ini tidak bertaklid kepada mana-mana mazhab yang muktabar. (sila lihat Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali ke-14 bersidang pada 22-23 Oktober 2006).
Fahaman ini mula berkembang ke seluruh tanah air khususnya di Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada tahun 1939 di bawah pimpinan Ustaz Hashim Abd. Ghani dengan gelaran fahaman Ittiba’ al-Sunnah. Golongan ini mendakwa hanya berpegang kepada al-Quran dan al-Sunah sahaja. (sila lihat Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali ke-14 bersidang pada 22-23 Oktober 2006)
Metodologi fahaman al-Tabdi’
Hasil kajian terhadap buku-buku, majalah, ceramah, seminar, forum dan cakera padat (CD) yang dikeluarkan golongan ini didapati mereka menyebarkan fahaman seperti berikut:
- Mengetengahkan isu kafir-mengkafir dengan kes khilafiah.
- Mempromosi ayat mutasyabihat secara meluas.
- Mendasari salah faham terhadap bidaah.
- Menyerang golongan tasawuf atau lMenyuburkan fahaman memvisualisasikan Tuhan.
- Menentang Fatwa Kebangsaan dan negeri-negeri.
- Mempunyai fahaman yang keras dan ekstrem.
- Menolak pegangan imam mazhab dan taklid.
- Menolak sistem pengajian berasaskan kitab-kitab lama.
- Menuduh pendekatan kepimpinan tidak Islamik dan sebagainya.
Kedudukan
Isu fahaman ini sebenarnya telah dibincangkan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali Ke-14 yang bersidang pada 22-23 Oktober 1985. Namun kuasa menentukan status fahaman ini tertakluk kepada bidang kuasa kerajaan negeri untuk memfatwakannya.
Oleh itu, semua pihak diminta tampil menyelesaikan masalah ini secara bijaksana. Maka, amat wajar jika fatwa mengenai fahaman ini dimuktamadkan.
Usaha ini sedikit sebanyak mampu meleraikan permasalahan yang berlaku. Semoga usaha pembangunan insan dan tamadun tidak terganggu dengan fahaman rigid sebegini.
Kini fahaman ini semakin menular dan berkembang biak di pusat-pusat pengajian tinggi. Golongan profesional juga tidak ketinggalan mudah terpengaruh dengannya. Sebabnya, ia mudah diterima kerana cara pengamalannya yang dikatakan senang dan ringkas.
Namun, dalam beberapa kes, golongan ini bertindak agresif terhadap pegangan dan amalan agama yang menjadi kebiasaan masyarakat kita.
Contohnya, amat menyedihkan bila sesetengah pihak menganggap talkin yang dibacakan Imam Besar Masjid Putra, Putrajaya semasa pengkebumian Allahyarhamah Datin Seri Endon Mahmood sebagai satu bidaah yang sesat.
Demikian juga halnya talkin yang dibacakan pada hari pengkebumian Allahyarham Tun Ghafar Baba. Golongan ini mendakwa pembacanya layak dihumban ke dalam neraka kerana melakukan sesuatu yang tidak diajar Rasulullah.
Selain itu, mereka juga berpendapat pahala bacaan ayat suci al-Quran tidak sampai kepada arwah. Malah amalan ini disamakan dengan budaya Hindudan mereka melarang keras umat Islam untuk mengamalkannya.
Bagi majoriti umat Islam di Malaysia, kita menerima pakai amalan ini kerana ia mempunyai dalil, diamalkan oleh para alim ulama kita dan telah diputuskan oleh fatwa negeri-negeri. Maka usaha untuk mempertahankan pegangan dan fahaman ini perlu dilakukan.
Ini supaya masyarakat kita tidak menjadi mangsa. Maka, diharapkan semua pihak mampu memberi perhatian terhadap permasalahan ini. Sekali gus mengambil inisiatif terhadap langkah-langkah pencegahan yang berkesan.
* Zamihan Mat Zin al-Ghari ialah Penolong Pengarah, Institut Latihan Islam Malaysia,
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)

1 comments:

Anonymous May 16, 2011 at 4:04 AM  

islam itu mudah, dont complicated the things. semasa isteri meninggal dunia tempoh ari, satu wajah tersenyum dwajahnya terpancar selama 40 seconds semasa nazak. ini menunjukkan rahmat Allah begitu luas dan kita dM'sia inshaalah selamat dgn pengangan kita selama ini. yg penting kita mesti redha menredhai dantara satu dgn lain, berlapang hati. apa2 yg dfahami oleh org lain mengikut lunas2 qada qadar Allah yg menentukan samaada sesat atau tidak, walaupun ilmu itu amat penting. kerahmatan Allah menliputi segala2nya walaupun kita berselisih pendapat. kurniaan ilmu Allah kpd kita mungkin tidak dperolehi oleh org lain dan kita dgalakkan bersangka baik, wallahualam
stone again!

©2009 .:: Makalah Ilmu ::.. Hakcipta Ada Yang Terpelihara.
Diterbitkan Oleh : Amirul Amin. | Pengurusan Oleh : Malaysia Terjah. | Pautan Luaran Oleh : Afiqah Network Link.
PENAFIAN : Ini adalah laman Web ATAU Blog sokongan untuk tujuan PROMOSI ATAU SUMBANGAN sahaja.
Tiada kaitan dengan : Laman Web ATAU Blog Syarikat ATAU Agensi ATAU Individu ATAU Organisasi yang disertai.
Tiada mana-mana bahagian portal ini boleh diubah, disalin, diedar, dihantar semula, disiarkan, dipamerkan, diterbitkan, dilesenkan, dipindah, dijual atau diuruskan
bagi tujuan komersil dalam apa bentuk sekalipun tanpa mendapat kebenaran secara bertulis yang jelas terlebih dahulu daripada
Malaysia Terjah.